Habib Jewels Mohon Maaf Tersilap Muat Naik Gambar Tunang Elfira, Sufian

KUALA LUMPUR – Syarikat barang kemas terkemuka, Habib Jewels tampil memohon maaf selepas menyedari kesilapan memuat naik gambar lama Elfira Loy dan Sufian Suhaimi dalam Facebook mereka ketika pasangan selebriti itu diraikan sebagai pasangan dalam satu majlis pertunangan. 

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata tujuan asal mereka memuat naik gambar berkenaan adalah bagi meraikan Elfira yang baru melangsungkan perkahwinan pada 1 Januari lalu.

Menurut syarikat tersebut lagi, kesilapan itu didapati dilakukan oleh kakitangan mereka yang bekerja di jabatan media sosial. 

“Berkenaan gambar salah yang kami muat naik untuk mengucapkan tahniah kepada salah seorang artis tempatan yang baru mendirikan rumahtangga baru-baru ini, ia dilakukan oleh bahagian media sosial.

“Kami meminta maaf kepada artis, suami dan peminatnya atas kesilapan itu dan mendoakan kebahagiaan kepada pasangan itu,” demikian kenyataan Habib Jewels di Facebook rasmi syarikat berkenaan.

Gambar yang dimuat naik itu memaparkan Elfira dan Sufian yang dirakam ketika mereka mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober 2017.

Ia kemudian diturunkan daripada akaun Habib Jewels selepas menyedari kesilapan berkenaan.

Pasangan selebriti itu mengesahkan ikatan pertunangan diputuskan mengikut adat pada Februari tahun lalu.

Elfira pada 1 Januari lalu selamat diijabkabulkan dengan pemuda pilihan hatinya Muhammad Faris Khairol Anuar, yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat telekomunikasi ternama. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.