Sayap Baharu Ajak

Rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk. Barangkali tidak kaya, namun kesihatan berada dalam keadaan yang baik.

Buat manusia lain, barangkali tiada rumah yang besar, namun dikurniakan anak-anak yang berjaya dalam pelajaran. Ada juga yang tidak kaya, namun jiwa sentiasa tenang.

Begitulah juga dengan kehidupan seorang anak seni bernama Ajak atau nama lengkapnya, Mohamad Hanaffi Razak. Kehidupannya sudah jauh berubah sejak bakatnya dicungkil menerusi program Raja Lawak 6 bersama Shahrol yang membentuk kumpulan yang diberi nama Shiro.

Memulakan hidup dengan pekerjaan sebagai seorang tentera laut, dia nekad untuk menceburi bidang seni atau lebih tepat lagi, komedi. Rezeki datang bertalu-talu, bakat dalam seni lawak dikembangkan menjadi seorang pelakon, penyampai radio dan pengacara.

“Sejujurnya, saya memang tidak menyangka langsung akan berada pada tahap sekarang. Apabila fikir kembali, saya memang tiada ilmu dalam bidang seni.

“Cuma, saya fikir waktu berhenti kerja dan terjun dalam bidang ini hanyalah untuk mengubah kehidupan keluarga. Bidang hiburan pun perlu ada disiplin yang tinggi, baru kepercayaan orang datang kepada kita. Saya kira, semua kejayaan yang dikecapi sehingga hari ini adalah rezeki isteri dan juga anak-anak,” ujar suami kepada Afifah Amin itu.

Menginjak usia 32 tahun pada 6 Januari lalu, satu matlamat yang ditetapkan Ajak bersempena dengan usia dan tahun baharu yang masih segar memberi mukadimah, dia hanya ingin bekerja keras terutama demi kestabilan masa depan anak-anak.

“Saya gemar berfikir tentang masa depan, mungkin 10 atau 15 tahun akan datang. Waktu masih kuat dan muda ini saya perlu bekerja keras untuk masa depan anak-anak yang lebih terjamin.

“Saya tidak mahu melihat apabila anak-anak sudah besar nanti, mereka tiada perkara yang sepatutnya saya sediakan buat mereka seperti wang simpanan ataupun rumah sendiri. Mereka berhak menjalani kehidupan yang lebih bagus berbanding saya,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Mohd. Jad Thaqif, 7, Mohd. Had Thaqif, 4, dan Nada Soffea, 2, itu.

Dijentik persoalan sampai bila dia mampu bertahan dan masih relevan dalam cabang seni tempatan, Ajak hanya menekankan hasrat untuk bekerja dengan seikhlas dan sekeras mungkin.

“Kalau di Hollywood, semakin tua semakin mahal dan disanjung. Di Malaysia, senarionya berbeza. Justeru, saya rasa 10 atau 15 tahun akan datang mungkin tubuh saya tidak lagi sekuat sekarang.

“Saya lihat ada segelintir artis yang apabila sudah tua, tiada simpanan. Itu adalah contoh atau pengajaran buat kita supaya sentiasa beringat selagi kudrat masih kuat, kita kerja sekuat habis,” tutur penyampai radio Hot FM itu.

Melodi

Tahun 2018 juga menyaksikan Ajak menggalas tanggungjawab baharu sebagai pengacara program hiburan nombor satu tanah air, Melodi bersama Janna Nick menggantikan dua pengacara terdahulu iaitu Awal Ashaari serta Muhammad Azmir Selamat atau AG.

Menjanjikan akan melakukan yang terbaik, Ajak juga bersikap terbuka andai peminat memberikan kritikan yang membina kepadanya untuk terus membawa jenama Melodi ke peringkat yang lebih cemerlang.

Dua tahun memberikan fokus kepada kerjaya sebagai penyampai radio, Ajak berpendapat sudah tiba masa untuknya mengukuhkan jenama pengacaraan yang selama ini tidak konsisten.

“Rugi kalau saya tidak terima peluang ini. Melodi sudah sinonim dengan jiwa rakyat Malaysia. Saya akui sebelum ini saya tidak begitu konsisten sebagai pengacara. Tahun ketiga bergelar penyampai radio, saya mahu pengacara bergerak seiring,” getus Ajak yang mendedahkan menerima tawaran mengacara Melodi sekitar bulan November lalu.

Terlebih dahulu, kata Ajak, dia begitu berbesar hati menerima peluang dan kepercayaan kepadanya.

“Waktu kecil saya menonton program ini, sekarang saya pula yang menjadi pengacara. Saya melihat peluang ini sebagai satu elemen yang baik untuk perkembangan kerjaya saya,” katanya penuh teruja.

Malah, pada episod perdana yang ditayangkan Ahad lalu, Ajak dan Janna sudahpun menerima kritikan.

Selain keserasian mereka dipersoal, persembahan kedua-duanya juga dicuit. Ada yang menyatakan kendalian pertama mereka nampak kekok dan seperti ‘kayu’.

Sebagai seorang yang realistik dan bersikap terbuka, kata Ajak, setiap kritikan diambil sebagai pemangkin untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Sudah 22 tahun program ini bertahan. Saya pasti ramai yang akan membandingkan gaya pengacaraan saya dengan pengacara terdahulu. Itu memang sifat manusia. Tiada kerisauan dan saya hanya akan mengacara mengikut acuan saya sendiri,” katanya.

Kesihatan isteri

Mengulas tentang keadaan kesihatan isterinya, Afifah yang dikhuatiri terkena jangkitan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV), baru-baru ini, Ajak berkata, isterinya tiada penyakit tersebut dan berada dalam keadaan yang baik.

“Ujian darah sudah diterima dan dia (isteri) tiada jangkitan itu. Alhamdulillah, namun dia harus berjaga-jaga mengenai keadaan kesihatannya.

“Gelisah juga saya apabila dia demam selama seminggu lebih dan tidak kebah. Tiga hari dia dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut. Tiga hari juga dia dikuarantin. Demam panas sampai hidung berdarah dan sukar bernafas, mahu saya tidak gelabah,” jelas Ajak yang mendedahkan isterinya itu menghidap penyakit sinusitis.

Diusik pertanyaan dalam nada gurauan ada kemungkinan isterinya itu berbadan dua, Ajak hanya menghembus tawa sambil menjawab: “ Kalau betul mengandung, alhamdulillah. Saya pun tidak menolak rezeki.

“Mana ada mengandung, belum ada rezeki lagi. Kalau mengandung, tarikh lahir mestilah sama dengan tiga orang anak kami iaitu 25 Mac.”

Menginjak usia 32 tahun pada 6 Januari lalu, bergandalah tanggungjawab Ajak sebagai seorang suami, bapa dan pelaku seni. Terbaharu, dia menggalas tugas sebagai pengacara program hiburan nombor satu tempatan, Melodi. Lelaki itu berbicara tentang kurniaan rezeki dan perubahan hidup yang semakin memberi definisi sebenar kepadanya.-kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.