PAS Terus Sindir PAN Kerana Dapat Kerusi Paling Sedikit

Selepas pengumuman Pakatan Harapan (PH) mengenai pembahagian kerusi untuk kawasan Parlimen di Semenanjung pada pilihan raya umum (PRU14), PAS tidak melepaskan peluang untuk menyindir serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) yang hanya mendapat 27 kerusi Parlimen dalam pembahagian berkenaan.

Malah pemimpin PAS yakin PAN terpaksa bertarung untuk mencari kemenangan memandangkan kemenangan lalu oleh beberapa pemimpin PAN adalah atas tiket PAS.

“Begitu juga Parti Amanah Negara pun menang kerana PAS dan bertanding atas tiket PAS. Mereka kemungkinan besar sukar untuk mempertahankan kemenangan pada PRU ke-14.

“Dan akhirnya akhirnya DAP juga yang dominan dengan penguasaan kerusi tradisi mereka,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah ketika mengulas mengenai pembahagian kerusi yang diumumkan oleh PH.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding di 52 kerusi parlimen, PKR tanding di 51 kerusi, DAP (35 kerusi) dan PAN (27 kerusi). Semua ini melibatkan kerusi Parlimen di Semenanjung.

Dengan pengagihan kerusi berkenaan juga, di mana PAN hanya mendapat 27 kerusi, maka parti itu terus menjadi bahan sindiran daripada pemimpin PAS.

Malah calon PAN yang bertanding di kerusi yang dicalonkan itu pastinya tidak akan terkecuali daripada bertembung dengan PAS. Malah pada PRU-14 ini juga, jelas menunjukkan akan berlaku pertarungan tiga penjuru melibatkan PAS, parti PH dan Barisan Nasional (BN).

Dan sejak pembahagian kerusi itu diumumkan Pakatan Harapan pada konvensyen parti berkenaan Ahad lalu, berlaku ketidakpuasan di kalangan ahlinya terutama PAN yang menyaksikan PAN Johor memboikot konvensyen berkenaan.

Ia disebabkan PAN Johor mahu lebih banyak kerusi pada PRU-14 nanti. PAN Johor meminta untuk bertanding di lima kerusi Parlimen, namun hanya diberikan dua kerusi, iaitu Parlimen Parit Sulong dan Pulai.

Disebabkan ketidakpuasan ini, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub mencadangkan platform Pakatan Harapan (Harapan) digunakan untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi susulan wujud ketidakpuasan hati beberapa kumpulan dan individu dalam parti itu mengenainya.

Salahuddin berkata, dua perkara akan dibawa ke meja rundingan iaitu mengatur semula kerusi yang dirasakan boleh menjadi faktor kemenangan dan berbincang mengenai kerusi negeri.

`Rundingan mengenai pengagihan kerusi ini kita bincang dari semua aspek seperti faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera. Semua ini kita adunkan dan kita bincang dalam menentukan kerusi.

“Jalan penyelesaian kepada situasi sekarang adalah melalui Harapan iaitu kita atur balik kerusi yang kita rasa boleh berbincang tentang faktor kemenangan dan masih ada kerusi-kerusi negeri masih dalam proses rundingan. Masih ada jalan keluar dan dapat kita selesaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.