Liam Serasi Dengan Pengarah The Commuter

Kehidupan setiap orang ada jalannya yang berbeza dan tersendiri. Itulah yang dipaparkan dalam filem terbaru berjudul The Commuter.

Menampilkan Liam Neeson sebagai teraju utama, The Commuter arahan Jaume Collet-Serra memulakan plot kisahnya menerusi kisah hidup dan rutin harian Michael McCauley lakonan Liam.

Michael yang bekerja di syarikat insurans selama lebih 10 tahun menjalani rutin harian, pergi dan pulang kerja dengan menaiki kereta api.

Jelas, lakonan Liam memberikan kesan kepada penonton yang menantikan babak demi babak dalam The Commuter.

Liam dalam satu temu bual bersama media antarabangsa mengakui, wujud keserasian antara dia dan pengarah, Jaume.

“Saya mula mengenalinya sejak enam ke tujuh tahun lalu dan pada waktu itu, saya dapat rasa ada keserasian antara kami,” katanya.

Menurutnya, kerana keserasian itu juga, mereka saling memudahkan kerja masing-masing.

PERLU selesaikan misteri.
“Bagi saya, dia adalah pembikin filem yang sejati. Saya memudahkan kerjanya dan dia juga memudahkan kerja saya.

“Itu menjadikan seluruh proses dari awal sehingga tamat berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah besar,” katanya.

Dalam temu bual itu juga, Liam ditanya sekiranya apa yang berlaku dalam The Commuter benar-benar berlaku pada dirinya dalam dunia realiti, apa tindakannya?

“Kalau saya diminta melakukan satu tugasan kecil dan ditawarkan sejumlah wang, saya akan fikirkan secara terperinci sebelum membuat keputusan.

“Saya akan fikirkan, siapa yang akan terkesan dengan keputusan saya, siapa yang akan mungkin mengalami kecederaan fizikal mahu pun mental dan sebagainya.

“Ya, saya akui, saya adalah seorang yang pengecut dan berkemungkinan besar, akan menolak tawaran itu walaupun ia sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya.

Secara ringkas, konflik tercetus apabila Michael diberhentikan kerja secara serta-merta tatkala sedang mengalami masalah kewangan di samping anaknya yang akan melanjutkan pelajaran ke kolej.

Dalam keadaan terdesak dan tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada keluarganya, muncul wanita misteri bernama Joanna (Vera Farmiga) yang menawarkan wang berjumlah AS$100,000 kepadanya.

BERTEMU wanita misteri, Joanna.
Namun, dia perlu menyelesaikan satu tugasan untuk mencari seorang penumpang tidak dikenali yang berada di dalam kereta api yang dinaikinya berdasarkan beberapa pembayang.

Tanpa disedari, itu adalah perangkap dan dia menerima ugutan, sekiranya tidak menyelesaikan tugasan itu, isteri dan anaknya akan dibunuh.

Selain Liam dan Vera, The Commuter turut membariskan beberapa pelakon hebat lain antaranya Patrick Wilson, Jonathan Banks, Elizabeth McGovern dan ramai lagi.

Di Malaysia, The Commuter akan ditayangkan mulai 11 Januari ini dan tentunya menjadi salah satu filem aksi yang dinantikan.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.