Tindakan Berhentikan 3 Pengarang Serta Merta Dianggap Langkah Kurang Berakhlak – Paksi

Kuala Lumpur – Tindakan memberhentikan secara serta-merta khidmat tiga Pengarang Harakah disifatkan langkah kurang berakhlak pengurusan akhbar itu kepada kakitangannya.

 

Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Rozan Azen Mat Rasip berkata, ia sekaligus menggambarkan sikap tidak beretika, zalim dan tidak berakhlak.

 

“Paksi merakamkan simpati kepada tiga orang rakan wartawan di Harakah yang diberhentikan tanpa mengikut etika kerja yang lazim apatah lagi akhlak Islam seperti yang selalu disyarahkan oleh pimpinan parti Islam PAS selama ini.

 

“Bermula dengan tindakan memberhentikan secara serta-merta khidmat Pengarang Harakah, Datuk Tarmizi Md Jam, pada 1 Oktober 2014, kerana mengkritik UG (kerajaan campuran) dalam pimpinan PAS. Diikuti pertengahan Disember tindakan yang sama ke atas Roslan Hamid (editor rencana) kerana menyiarkan tulisan Dinsman yang mengkritik ulama dalam pimpinan PAS.

 

“Seterusnya tindakan ke atas Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman, atas alasan kesihatan, ketika beliau sedang bercuti sakit dan masih dalam rawatan doktor,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

 

Dalam pada itu Paksi memohon penjelasan ulama PAS di atas tindakan tersebut.

 

“Sekiranya tindakan mereka itu menyalahi ajaran Islam, kami tuntut mereka memohon maaf dan menerima semula wartawan-wartawan berkenaan untuk bekerja seperti biasa.

 

“Kami juga menuntut agar pihak pengurusan Harakah membenarkan kakitangannya membentuk kesatuan sekerja, dan memperhatikan akhlak terutamanya prihatin terhadap kebajikan pekerja, dan kebaikan lain yang selalu disyarahkan pihak pimpinan PAS,” ujarnya.

 

Katanya lagi, ia sekali gus tidak menggambarkan semangat PAS di dalam Pakatan Rakyat (PR) yang selalu mengkritik kerajaan Barisan Nasional.

 

“PAS kata BN tidak menghormati hak kebebasan bersuara, dengan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan namun tindakan pengurusan Harakah ini umpama ‘meludah ke langit timpa batang hidung sendiri’ dan ‘mengata dulang paku serpih’.

 

“Sedangkan praktik mereka dalam sebuah syarikat mereka yang kecil tetapi sangat penting itu (Harakah adalah lidah rasmi PAS dan menjana pendapatan untuk PAS) pun mereka tidak laksanakan pengajaran mereka sendiri. Apakah ini tidak munafik?

 

“Begitu juga dengan pengajaran mengenai akhlak menjaga kebajikan pekerja (dan Negara Berkebajikan). Apakah tindakan memberhentikan pekerja dengan serta-merta dan tanpa notis itu sesuai dengan tuntutan Islam? Dan apakah memberhentikan pekerja yang sedang bercuti sakit dan masih dalam rawatan doktor itu juga sesuai dengan ajaran Islam?,” jelasnya.

 

Dalam pada itu portal Themalaysianinsider melaporkan, pengasas lidah rasmi PAS, Ishak Surin menggesa Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berundur daripada kedudukannya sebagai ‎Pengerusi Harakah kerana memecat tiga pengarangnya.

 

“‎Saya cabar Mustafa Ali berundur. Kita sangat benci ‘anak’ yang kita lahirkan tiba-tiba bersikap zalim.

 

“Begitu mengejutkan sekali. Semuanya berlaku pada saat-saat PAS sedang bergolak hebat dengan krisis kepimpinan dan konflik antara golongan tertentu hingga mengakibatkan jualan akhbar Harakah jatuh merudum,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.