Saya Hilang Maruah Diri Kerana Perbuatan Rozana – Awie

Penyanyi Rock terkenal Awie meluahkan kekesalan akibat tindakan isterinya Rozana, yang membawa kes berkaitan sijil nikah mereka tidak sah, di mahkamah sehingga memalukan seluruh keluarga.

 

Sedangkan perkara itu boleh masih diselesaikan secara baik di luar mahkamah. Tambahnya lagi, hal tersebut bukan saja memalukan dirinya tetapi juga anak-anak.

 

“Saya kehilangan banyak benda akibat tindakan Rozana, termasuk maruah diri dan wang kebajikan untuk anak-anak.

 

“Saya tidak faham mengapa seorang ibu sanggup memalukan anak-anaknya sendiri walaupun perkara ini boleh diselesaikan secara baik. Sekarang, orang mempersoalkan status ketiga-tiga anak kami, sedangkan perkahwinan kami sah mengikut syarak, cuma tidak didaftarkan di Malaysia melalui jalan yang betul. Cukuplah Rozana memalukan saya tetapi mengapa perlu membabitkan anak-anaknya juga,” katanya.

 

Terbaharu, terbongkar rahsia sijil nikah yang digunakan mereka sepanjang sembilan tahun adalah palsu sehinggalah kemelut rumah tangganya dibawa ke mahkamah pada tahun lalu.

 

Jelas vokalis kumpulan Wings itu, beliau sedar kepentingan memiliki sijil nikah. Tidak mungkin beliau akan membiarkan perkara itu jika sedar sijil nikah yang didaftarkan di Jabatan Agama Pulau Pinang itu adalah palsu kerana ia bukan sahaja memudaratkan dirinya tetapi juga masa depan anak-anaknya.

 

“Selepas bernikah di Thailand, saya menggunakan khidmat ejen (orang tengah) untuk mendaftarkan pernikahan saya di Malaysia kerana saya sedar kepentingan untuk memiliki sijil nikah yang sah mengikut undang-undang Malaysia. Waktu itu, saya masih berstatus suami orang dan Rozana merupakan isteri yang kedua. Ketika itu, dia juga belum bersedia untuk memberitahu perkahwinan kami kepada keluarganya.

 

“Jika saya sendiri yang pergi mendaftar pernikahan tersebut, sudah tentu berita perkahwinan kami akan diketahui semua orang. Perkara itu (daftar menggunakan ejen) dibuat atas nasihat isteri saya juga. Kami memperoleh sijil nikah beberapa bulan selepas tarikh perkahwinan. Jadi, saya tidak mempunyai sebarang keraguan. Saya yakin sijil nikah itu sah di sisi undang-undang kerana saya tidak menghadapi sebarang masalah memiliki surat kelahiran untuk ketiga-tiga anak kami.

 

“Selepas kecoh hal sijil nikah itu palsu, saya pergi sendiri ke Jabatan Agama Pulau Pinang untuk pastikan sijil nikah itu palsu atau tidak. Jika saya tahu tidak mungkin saya terlalu bodoh untuk membiarkan perkara itu kerana ketiadaan sijil nikah bukan sahaja memudaratkan diri saya tetapi juga anak-anak,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.