Rizab Antarabangsa Bank Negara RM405.5 Bilion Pada 31 Dis 2014

Kuala Lumpur – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM405.5 bilion (bersamaan US$116.0 bilion) pada 31 Dis 2014 berbanding RM441.9 bilion (US$134.9 bilion) pada akhir tahun 2013.

 

Paras rizab pada 31 Dis 2014 mengambil kira pelarasan suku tahunan nilai rizab disebabkan perubahan pertukaran asing, menurut kenyataan BNM di sini.

 

Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.4 import tertangguh dan ialah 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek, katanya.

 

Komponen utama rizab antarabangsa adalah pertukaran asing (US$106.7 bilion), kedudukan rizab Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$0.9 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (US$1.9 bilion), emas (US$1.4 bilion) dan aset-aset lain (US$5.1 bilion).

 

Pada tahun 2014, rizab antarabangsa disokong oleh lebihan akaun semasa yang lebih tinggi dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

 

Penilaian semula pertukaran asing secara kumulatif yang belum direalisasikan juga menambah nilai rizab antarabangsa, kata bank pusat.

 

Aliran keluar yang mengimbangi penambahan nilai rizab adalah terutamanya dalam bentuk kebalikan pelaburan portfolio bukan pemastautin, pelaburan langsung luar negara oleh syarikat-syarikat Malaysia, pemerolehan aset portfolio asing oleh pelabur-pelabur institusi pemastautin dan pembayaran bersih peminjaman luar pesisir oleh sektor awam.

 

Rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.

 

Paras rizab ini dijangka kekal lebih daripada mencukupi pada tahun 2015, disokong oleh aliran masuk dagangan dan pelaburan, kata BNM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!