Pembangkang Perlekeh Usaha Bantu Mangsa Banjir

Parti pembangkang terus memperlekehkan usaha kerajaan dalam membantu mangsa banjir, untuk mendapatkan perhatian rakyat.

 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Prof. Dr Ibrahim Abu Shah berkata, memperlekehkan usaha orang lain memang menjadi budaya pakatan pembangkang yang acap kali bersikap tidak rasional, termasuk mengambil kesempatan terhadap kesusahan rakyat.

 

“Ini dah memang cara pakatan pembangkang yang cuba memanipulasikan apa sahaja perkara, terutama hal berkaitan usaha BN (Barisan Nasional) membantu rakyat, dengan memberi gambaran buruk kepada rakyat.

 

“Antaranya ialah tindakan Naib Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat), Rafizi Ramli yang menjadikan penurunan harga minyak sebagai isu, dengan menuduh kerajaan tidak prihatin dengan pengusaha stesen minyak, selain ada segelintir yang membuat tuduhan, kononnya pemimpin BN lambat bertindak menghulurkan bantuan banjir.

 

“Timbalan Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula menyalahkan TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan menuduh Empangan Kenyir Dua sebagai punca banjir, dalam usahanya mengalihkan pandangan rakyat terhadap kerja pembalakan yang dikatakan punca kepada fenomena banjir luar biasa tahun ini,” katanya yang dipetik daripada laman rasmi UMNO.

 

Beliau berkata, sebagai pemimpin, mereka sepatutnya mengutamakan bantuan, seperti yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada sibuk mencari kesalahan orang lain.

 

“Jika BN hanya mengutamakan kepentingan politik semata-mata, pasti BN akan lepas tangan terhadap mangsa banjir di Kelantan, kerana negeri itu sudah lebih 20 tahun berada di bawah pemerintahan PAS.

 

“Kita dapat menyaksikan BN bersungguh-sungguh mengerah jenteranya, bagi memastikan nasib rakyat jelata terbela, ketika pakatan pembangkang gagal bertindak,” ujarnya.

 

Katanya, pemimpin pembangkang pula hanya muncul setelah air surut, ketika pemimpin BN mengerah jentera daripada pelbagai aspek, termasuk yang sedang bercuti pun diarah pulang.

 

Beliau yakin rakyat boleh menilai dan melihat sendiri pihak mana yang ikhlas membantu mereka daripada ketika banjir berlaku sehinggalah proses pasca banjir. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.