Pemandu Muntah ‘Ragut Nyawa’

Pendang: Tindakan seorang wanita memberhentikan kereta Proton Wira yang dipandunya di tepi jalan Kilometer 66.7, Lebuhraya PLUS menghala ke Alor Setar kerana mahu muntah berakhir tragedi apabila bahagian belakang kenderaan itu dirempuh sebuah motosikal menyebabkan penunggangnya maut, semalam.

 

Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa, Sufian Zainol, 26, beralamat dari Kuala Nerang dikatakan dalam perjalanan dari arah Sungai Petani dan dikatakan tidak sempat membrek sebaik ternampak kereta berkenaan yang berhenti di tepi lebuh raya.

 

Difahamkan, jururawat berusia 30-an itu bersama tiga ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Kangar, Perlis selepas menziarahi saudara mereka yang meninggal dunia di Jeniang, Gurun, tetapi dikatakan memberhentikan keretanya di kawasan itu kerana tidak tahan untuk muntah.

 

Namun, tidak sampai lima minit, wanita berkenaan ternampak sebuah motosikal tiba-tiba merempuh belakang keretanya dan penunggangnya terjatuh di atas jalan lalu meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.

 

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Aziz Ahmad yang mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah kereta di tempat kejadian sebelum disahkan meninggal dunia. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.