Pelajar IPT Tidak Mengaku Salah Rogol Kenalan

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, Disember lalu.

 

Tertuduh, Ajeep Mohd Harith Jamal Mohd, 21, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

 

Mengikut kertas pertuduhan,  tertuduh didakwa merogol gadis tersebut yang merupakan kenalannya di sebuah hotel di Jalan Tun Sambhathan, Brickfield antara jam 6.30 petang hingga 7 petang, 28 Disember lalu.

 

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebatan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan pendakwa Raya Tan Siew Ping memohon agar mahkamah tidak memberikan jaminan ke atas tertuduh bagi mengelakkan tertuduh  mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

 

Namun tertuduh yang diwakili peguam Mohd Zaidi Othman,  mohon agar jaminan diberikan kerana tidak mahu tertuduh dipenjara dan menjejaskan masa depannya jika ditahan sehingga selesai perbicaraan.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan 29 Januari untuk sebutan semula kes. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.