Kuil Hindu Putrajaya Dalam Pelan Sejak 1997 Tanda Keharmonian Antara Agama

Kementerian Wilayah Persekutuan menjelaskan isu bahawa pembinaan Kuil Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Devasthanam yang berkeluasan 1833.89 meter persegi di Presint 20 merupakan sebahagian Pelan Induk Putrajaya yang diputuskan pada 1997.

 

Pelan Induk Putrajaya pada tahun 1997 telah menetapkan plot-plot rezab agama-agama lain termasuk Kuil di Presint 20.

 

Kuil ini menggantikan kuil-kuil hindu kecil yang telah dirobohkan dahulu berikutan pembangunan semula kawasan terbabit dan perpindahan penduduk sedia ada ke kawasan lain. Antara yang dirobohkan ialah Kuil Sri Maha Mariaman di Ladang Sidgelley, Presint 14, Kuil Bukit Prang di Jln B15, Ladang Prang Besar 2, Kuil Sri Durga Kaliaman, Presint 20 serta kuil-kuil lain di Presint 7, 16, 15, 14, 13 dan Presint 11.

 

Putrajaya yang sebelum ini merupakan kawasan ladang dan mempunyai pelbagai kuil dari yang bersaiz besar hingga bersaiz sederhana.

 

Pembinaan kuil Hindu ini juga menunjukkan toleransi dan persefahaman antara agama di negara ini tetap utuh.

 

Sementara itu, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu berkata kuil yang dinamakan Sri Lalithambikai Alayam itu menggabungkan ciri dari utara dan selatan India serta mampu menampung sehingga 10,000 orang ketika perayaan.

 

Pusat pentadbiran negara, Putrajaya bakal memiliki kuil Hindu paling unik di negara ini yang akan dibina di Presint 20, dengan kos RM12 juta hasil sumbangan korporat dan badan bukan kerajaan.

 

“Majlis pecah tanah dijangka pada bulan Mac ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada September nanti. Kita yakin ia dapat memenuhi keperluan penganut Hindu di Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan sekitarnya yang terus meningkat,” katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

 

Perbadanan Putrajaya meluluskan pembinaan kuil satu tingkat dan ruang pejabat dua tingkat di Presint 20 itu pada 20 Sept lepas, mengikut Seksyen 22 (3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. – MyKMU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.