Kevin Zahri Berazam Khatam Al-Quran

Personaliti TV yang juga jurulatih dan perunding pemakanan dan kecergasan terkenal, Kevin Zahri Abdul Ghaffar lega dan gembira apabila azamnya sejak dua tahun lalu iaitu mahu khatam al-Quran buat pertama kali akan tercapai tidak lama lagi.

 

Kevin berkata, dia kini belajar mengaji menerusi bimbingan seorang ustazah dan apa yang menggembirakan dirinya selepas bacaannya setakat ini sudah sampai sehingga juzuk ke-16.

 

“Saya dibesarkan di Jerman dan pada masa itu, saya tidak mendapat bimbingan agama daripada ustaz mahupun ustazah. Apabila balik ke Malaysia, baru saya mula mengaji.

 

“Selepas saya dihantar ke asrama, tidak ada pengajian al-Quran secara tetap apatah lagi kadang-kadang saya mengaji dan ada kalanya tidak.

 

“Setiap kali apabila saya sambung mengaji, ustaz atau ustazah saya akan menasihatkan saya  mula mengaji daripada awal. Jadi, sejak dua tahun lepas, saya nekad mahu khatam al-Quran,” katanya kepada Malaysian Digest, semalam.

 

Menurutnya, dia berusaha membetulkan semula bacaan dengan bimbingan ustazah dan menariknya. isterinya turut serta mengaji.

 

“Setakat ini saya sudah berjaya membaca sehingga muka surat 246, jika tidak silap adalah juzuk 16, surah Yusuf.

 

“Saya percaya jika berdasarkan kekerapan mengaji, Insha Allah selepas Aidilfitri nanti saya dapat khatam al-Quran,” katanya.

 

Baru-baru ini, bapa anak satu ini ada memuat naik status laman sosial Facebook miliknya dengan berkongsikan azam 2015 iaitu mahu khatam al-Quran pada tahun ini.

 

Tambah jurulatih yang cukup sinonim dengan program Jom Kurus ini lagi, dia tidak mahu terburu-buru dalam usaha merealisasikan azamnya itu.

 

Baginya, biarlah dia mengambil masa untuk sesi mengaji tetapi asalkan sepanjang tempoh itu dia juga dapat mendalami selok belok agama dengan lebih mendalam.

 

“Ustazah datang ke rumah saya dua kali seminggu dan kami melakukan solat maghrib berjemaah sebelum mengaji. Saya tahu ada orang kata, dalam masa sebulan pun boleh khatam tetapi saya tidak mahu terkejar-kejar.

 

“Lagipun bukan saja mengaji, selain itu kami juga berbincang tentang kerohanian, kehidupan, dunia dan akhirat. Kadang-kadang kami buat sesi tersebut dengan cara permainan soal jawab.

 

“Ini juga salah satu cara saya dedahkan kepada anak saya tentang mengaji. Dia pun sudah mula membaca alif ba ta walaupun baru usia 4 tahun tetapi biasalah budak-budak fokusnya dalam seminit dua saja,” kata bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim keempat ini.

 

Memandangkan matlamatnya semakin dekat, Kevin mengakui semangatnya semakin berkobar apatah lagi mendapat sokongan keluarga dan teman rapat yang memberikan inspirasi kepadanya.

 

“Walaupun saya sudah berusia 35 tahun tetapi saya fikir masih belum terlewat untuk melaksanakan azam ini.

 

“Kita takkan pernah terlambat untuk berubah dan mencari jalan mengubah diri kita kepada lebih baik,” katanya yang turut berniat mahu mengadakan majlis kenduri doa selamat sebaik khatam al-Quran nanti.

 

Mengenai perancangan masa depan, Kevin menyatakan hasrat mahu menunaikan ibadah haji selepas menangguhkannya kira-kira lima tahun dulu.

 

“Lima tahun lepas saya pernah dapat panggilan dari Tabung Haji untuk ke Makkah tetapi ketika itu saya baru hendak berkahwin dan keaadan tidak mengizinkan.

 

“Insha Allah, tunggu anak saya besar sikit dan apabila saya sudah yakin untuk tinggalkan dia di sini nanti, baru saya akan laksanakan pula ibadah haji,” katanya yang mengakui sudah menunaikan umrah sebelum ini sebanyak tiga kali.

 

Kevin mendirikan rumah tangga dengan Rio Elani pada April 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama Rafael Zahri. – MalaysiaGigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.