Ketua ‘Geng Alip Ayam’ Ditahan Pasukan D9 Pahang

Kuantan –  Kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Alip Ayam’ yang aktif melakukan jenayah samun dan rogol di sekitar daerah ini dengan menjadikan pelajar kolej wanita, jururawat dan pekerja wanita sebagai sasaran akhirnya tewas selepas tertangkapnya dua lelaki termasuk ketua kumpulan terbabit.

 

Kedua-dua suspek berusia 20 tahun itu ditahan secara berasingan di rumah masing-masing di daerah ini pada 27 dan 30 Disember tahun lalu dan polis masih memburu seorang lagi anggota geng berkenaan yang masih bebas namun percaya individu itu akan dapat ditangkap dalam masa terdekat.

 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang Superintendan Md Zamri Mat Zanu berkata, tangkapan dilakukan cawangan siasatan khas (D9) selepas membuat risikan dan siasatan terhadap geng terbabit yang didapati aktif melakukan jenayah itu antara Oktober hingga Disember tahun lalu.

 

“Geng ini dianggotai tiga lelaki dan mereka ini sangat kejam, ganas dan berbahaya kerana bukan saja melakukan jenayah samun bersenjata malah turut merogol mangsa serta menjadikan rumah sewa yang dihuni pelajar kolej wanita, jururawat dan pekerja wanita sebagai sasaran.

 

“Modus operandi mereka ialah memecah masuk rumah mangsa dengan bersenjatakan parang dan pisau sebelum mengugut serta menyamun mangsa,” katanya dalam sidang media di IPK Pahang, di sini, tadi. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.