Kanak-Kanak Hilang Ditemui Mati

PANTAI REMIS: Seorang kanak-kanak berusia setahun yang dilaporkan hilang dari rumah neneknya di Kampung Pulau Kabung, Batu 36, Jalan Sitiawan dekat sini petang semalam, ditemui sudah meninggal dunia pagi tadi.

 

 

Mayat Mohammad Aqeef Darus Haraz Gilbert yang berusia setahun enam bulan, ditemui kira-kira jam 10.30 pagi oleh orang ramai, lebih kurang 50 meter dari rumah neneknya.

 

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Amir Ahmad berkata, mangsa sebelum itu disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira jam 5 petang sebelum menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian itu.

 

 

Katanya, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) petang semalam hingga malam tadi tetapi tidak menemui mangsa.

 

“Operasi SAR diteruskan pagi ini dengan sepasukan anggota melakukan pencarian di sepanjang permukaan Sungai Beruas Kampung Pulau Kabung hingga ke Pantai Remis,” katanya.

 

 

Beliau berkata, operasi itu turut disertai pasukan unit anjing pengesan (K-9) selain meneruskan pencarian di kawasan hutan berhampiran dan sepanjang pesisiran sungai.

 

 

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.