Jawatankuasa Tangani Pasca Banjir Tiada Kaitan Kerajaan Campuran

KOTA BHARU – Penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bukan jaminan ke arah penubuhan kerajaan campuran di Kelantan, sebaliknya bertujuan menyelaraskan gerak kerja antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dalam usaha membangunkan semula negeri ini.

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, banjir yang melanda negeri ini hujung bulan lalu, menyebabkan Kelantan berdepan kemusnahan teruk dan memerlukan kerjasama semua pihak.

 

“Kerjasama ditingkatkan hingga membentuk kerajaan campuran, itu adalah politik, sedangkan kita tidak membincangkan tentang politik kerana ia bukan tahap kerajaan negeri, sebaliknya hanya aspek pentadbiran atas dasar federalisme.

 

“Jawatankuasa bersama ini berperanan menyelaraskan gerak kerja, sebab jika kerajaan Pusat sahaja yang lakukan, tidak ada penyelarasan dengan kerajaan negeri, begitu sebaliknya, jadi biar ada jawatankuasa ini agar semua tindakan boleh dilakukan bersama,” katanya selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

 

Mohd Amar berkata, isu kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat bukan perkara baharu, sebaliknya jalinan kerjasama itu wujud sejak sekian lama, namun kini ditingkatkan berikutan banjir yang melanda Kelantan.

 

“Isu kerjasama tidak berbangkit, kerana Malaysia mengamalkan federalisma, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, jadi sejak sekian lama kita dengan persekutuan memang ada kerjasama, dari segi pengurusan, tak ada masalah, itu amalan biasa,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mohd Amar dengan tegas terus menolak dakwaan aktiviti pembalakan punca Kelantan berdepan banjir buruk.

 

“Tahun 1926, bah air merah, ketika itu tidak ada aktiviti pembalakan, begitu juga 1967, seluruh Kota Bharu tenggelam, sedangkan ketika itu tidak ada aktiviti pembalakan tetapi Kelantan tetap berdepan banjir besar,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar menyangkal dakwaan tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang memperuntukkan RM1 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini sebagai sogokan untuk tidak melaksana hudud. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.