Hishamuddin Rais Didapati Bersalah Kerana Menghasut

Kuala Lumpur – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendapati aktivis politik dan bekas wartawan, Hishamuddin Rais bersalah atas tuduhan menghasut.

 

Memetik portal Malaysiakini, hakim Azman Mustafa ketika menyampaikan keputusannya berkata mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah.

 

“Tertuduh tidak menafikan bahawa beliau mengucapkan kenyataan meminta orang ramai turun ke jalan raya untuk memprotes dan menggulingkan kerajaan BN,” katanya.

 

Hishamuddin dituduh membuat kenyataan menghasut dalam ucapannya di di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor antara 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei 2013.

 

Selain Hishamuddin, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, pemimpin PAS Tamrin Ghafar, aktivis Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia Safwan Anang dan aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim juga didakwa sebelum ini.

 

Ceramah mereka didakwa menggesa orang ramai mengambil langkah membuat protes jalanan untuk menggulingkan kerajaan persekutuan berikutan keputusan tidak adil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

 

Chua yang juga ahli Parlimen Batu dan Haris Ibrahim masih berjuang membatalkan pertuduhan yang dikenakan dengan berpegang kepada alasan ia melanggar hak Perlembagaan mereka bagi kebebasan bersuara.

 

Tamrin, 64, diperintah membela diri pada minggu lepas dan kesnya akan disambung semula pada 26 November.

 

Safwan dijatuhi hukuman 10 bulan penjara pada 5 September manakala Adam mendapat hukuman penjara satu tahun, dua minggu kemudian.

 

Kedua-duanya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.