Hishamuddin Rais Bersalah Atas Kesalahan Menghasut, HUkuman Penjara 6 Bulan Atau Denda RM5000

Kuala Lumpur – Aktivis Hishamuddin Md Rais ‎didapati bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM‎5,000 dan seandainya tidak dibayar, penjara enam bulan dikenakan.

‎Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Mustapha membuat keputusan itu dan bersetuju dengan hujah bela peguam Hishamuddin, Syahredzan Johan semasa meminta rayuan hukuman di atas kesalahan Hishamuddin semasa memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei 2013.‎

Terdahulu semasa  prosiding, Syahredzan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya ‎tinggal berseorangan selain mempunyai pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan sebagai penulis.

Syahredzan juga memaklumkan Hishamuddin mempunyai beberapa haiwan peliharaan dan tinggal seorang diri.

Kata Syahredzan lagi, ucapan Hishamuddin turut dinyatakan ‎tidak membawa apa-apa tindakan susulan yang menjejaskan pemerintahan negara selain mencetus sebarang kekacauan kepada keamanan negara.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wai Lon membalas, Hishamuddin perlu dikenakan hukuman maksimum kerana ia melibatkan kepentingan awam selain menjelaskan hujah diberi Syahredzan hanyalah berasaskan kepentingan diri tertuduh.

Pada 29 Mei 2013, Hishamuddin bersama lima aktivis lain didakwa memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hishamuddin didakwa atas pertuduhan itu bersama-sama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammmad Safwan Anang @ Talib, 25; ahli Pas, Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 64, dan peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55, bagaimanapun perbicaraan kes mereka dijalankan secara‎ berasingan.

Pada Perhimpunan Agung UMNO lepas, Perdana Menteri,‎ Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 seiring dengan desakan tiga sayap parti itu sendiri.

Najib berkata, bukan hanya akta tersebut dikekalkan malah dua peruntukan khas akan dimasukkan supaya ia lebih berkesan.

Jelas Najib, peruntukan pertama ialah memastikan pengekalan akta itu dapat melindungi kesucian agama Islam dan agama lain tidak boleh dihina selain tindakan boleh diambil atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia‎. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.