Charlie Hebdo: Polis Kepung Bandar Untuk Tangkap Dua Suspek

Polis anti pengganas mengepung sebuah bandar kecil di Perancis, dengan helikopter berlegar di ruang udara, selepas sekurang-kurangnya seorang individu dijadikan tebusan di sebuah kedai percetakan, oleh dua lelaki yang dipercayai melancarkan serangan maut di pejabat majalah satira, Charlie Hebdo, Rabu lalu.

 

Terdahulu, polis mengejar sebuah kenderaan berhampiran Lebuhraya A2 menghala ke Paris, ketika pihak berkuasa semakin hampir untuk menangkap dua beradik yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan di Paris, kelmarin.

 

Tembakan kedengaran, dengan kenderaan berperisai, jentera polis dan ambulans dikejarkan ke sebuah kawasan berhampiran Lapangan Terbang Charles de Gaulle, di Paris.

 

Polis dan pasukan anti pengganas menyekat semua jalan masuk ke bandar Dammartin-en-Goele yang didiami 8,000 penduduk itu, dalam usaha memperkecilkan kawasan kepungan.

 

“Semua penduduk diarah berada di rumah. Kanak-kanak pula perlu dipastikan selamat di sekolah,” demikian menurut laman sesawang majlis perbandaran.

 

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Pierre-Henry Brandet memberitahu televisyen iTELE, beliau yakin dua suspek itu berada dalam bangunan yang dikepung pasukan keselamatan.

 

“Kami hampir pasti kedua-dua individu itu bersembunyi dalam bangunan itu,” katanya.

 

Menurut Yohann Bardoux, seorang tukang paip yang pejabatnya terletak berhampiran kedai percetakan, di mana drama tebusan itu berlaku, dia bertindak melarikan diri selepas terdengar bunyi tembakan.

 

Namun, katanya, ibunya masih berada di bangunan bersebelahan kedai percetakan itu.

 

“Sudah tentu saya risau dengan keselamatannya. Saya harap semuanya akan berakhir dengan baik dan secepat mungkin.

 

“Mereka (polis) berada di merata tempat. Mereka menyekat semua zon dan ada helikopter berlegar di udara,” katanya.

 

Sementara itu, sumber risikan kanan Yaman memberitahu Reuters, seorang daripada dua suspek utama itu berada di Yaman selama beberapa bulan, pada 2011, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama.

 

Namun, tiada maklumat sah yang boleh membuktikan dia dilatih kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab  (AQAP).

 

Bagaimanapun, sumber Amerika Syarikat dan Eropah pada Khamis memberitahu, seorang daripada dua beradik itu, Said Kouachi, 34, berada di Yaman pada 2011 untuk menyertai latihan dengan AQAP, satu daripada sayap paling aktif kumpulan al-Qaeda.

 

Sumber Washington memaklumkan, Said dan adiknya, Cherif disenaraikan dalam dua pangkalan data keselamatan negara itu, iaitu pangkalan data sulit yang mengandungi maklumat 1.2 juta suspek berkemungkinan menjadi pengganas.

 

Kedua-dua suspek itu dilahirkan di Perancis dan ibu bapa mereka adalah warga Algeria.

 

Seorang daripadanya pernah dipenjarakan selama 18 bulan, kerana cuba pergi ke Iraq sedekad lalu, untuk berjuang bagi sebuah kumpulan Islam.

 

Dua beradik itu adalah suspek utama yang disyaki melancarkan serangan di pejabat Charlie Hebdo di Paris, pada Rabu lalu, menyebabkan dua anggota polis serta 10 wartawan dan kartunis majalah itu terbunuh. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.