VIDEO: Akhbar Hina Nabi Muhammad, Charlie Hebdo Cetak 1 Juta Salinan

Paris – Satu juta salinan akhbar sindiran Perancis, Charlie Hebdo akan disiarkan Rabu depan di sebalik cetakan biasa mereka sebanyak 60,000 walaupun kakitangannya telah ditembak mati dalam serangan pelampau, kata kakitangan dan pihak peguam mereka.

 

Akhbar Charlie Hebdo akan diterbit Rabu depan untuk menunjukkan bahawa “kebodohan tidak akan menang,” kata kolumnis Patrick Pelloux kepada AFP.

 

“Ia amat sukar. Kami semua menderita, dengan kesedihan, ketakutan, tetapi kami akan teruskan kerana kebodohan tidak akan menang, “katanya.

 

Richard Malka, peguam akhbar tersebut, dilaporkan oleh Le Figaro sebagai berkata satu juta salinan akan dicetak dan bukannya 60,000 iaitu cetakan biasa mereka.

 

Edisi tersebut akan mempunyai hanya lapan muka surat, bagaimanapun, separuh daripada 16 sebelum ini.
Encik Pelloux berkata penerbitan itu perlu diletakkan di luar ibu pejabat Charlie Hebdo yang tidak boleh diguna sekarang berikutan serangan semalam.

 

Dua belas orang, termasuk lima pelukis kartun dan ketua pengarang, terbunuh dalam serangan yang juga menggorbankan dua orang anggota polis.

 

 

Hingga kini, polis Perancis mengesahkan sudah mengenal pasti tiga lelaki sebagai suspek serangan ke atas akhbar mingguan itu.

 

Pegawai polis sebelum ini menamakan suspek sebagai Said Kouachi dan Cherif Kouachi, iaitu warga Perancis yang berumur lingkungan awal 30-an manakala seorang lagi berusia 18 tahun dikenali sebagai Hamyd Mourad yang kerakyatannya belum disahkan.

 

Charlie Hebdo sebelum ini membangkitkan kemarahan orang Islam apabila menerbitkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW.

 

Charlie Hebdo atau yang dalam bahasa Inggeris dikenali ‘Charlie Weekly’ adalah akhbar mingguan Perancis yang memuatkan kartun dalam bentuk satira, laporan, polemik serta lelucon (humor) dan terkenal sebagai anti-agama dan bersayap kiri, memuat artikel mengenai puak ekstremis kanan.

 

Ia turut menyentuh isu mengenai penganut berfahaman Katolik, Islam, Yahudi serta isu berkaitan politik, budaya dan pelbagai isu semasa lain.

 

Menurut Ketua Pengarangnya, Stephane Charbonnier, akhbar itu bukan sahaja memuatkan pandangan kelompok sayap kiri malah mereka turut mengutarakan pandangan mereka yang berkecuali dalam sesuatu isu.
Akhbar mingguan tersebut mula diterbitkan pada tahun 1969 hingga 1981 dan penerbitannya dihentikan seketika selepas itu namun, pada tahun 1992 akhbar tersebut diterbitkan semula.

 

Bukan itu sahaja, akhbar berkenaan turut mencipta kontroversi dalam edisi yang diterbitkan pada 3 November 2011.

 

Edisi ketika itu mengubah nama Charlie Hebdo menjadi Sharia Hebdo dengan mencantumkan Muhammad sebagai editor tamu.

 

Pelbagai reaksi dan kritikan diterima terutamanya daripada umat Islam yang membantah penerbitan edisi tersebut.

 

Namun, Charb menegaskan majalah yang dikelolakan oleh syarikatnya itu bebas menyatakan apa jua pendirian dalam pelbagai isu semasa.

 

Pada 2007, Charlie Hebdo sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menerbitkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.

 

Penerbitan karikatur berkenaan telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

 

Namun akhbar berkenaan masih bergerak bebas, menerbitkan pelbagai kisah humor yang turut menyentuh mengenai agama Kristian dan penganut Yahudi.

 

Dalam sebuah wawancara dengan BBC, Charb mengatakan insiden serangan bom molotov koktail ke atas pejabatnya pada 2011 merupakan serangan yang dilakukan oleh puak ekstremis militan yang  tidak mewakili komuniti Islam di Perancis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.