Ada Sinar Harapan Disebalik Situasi Suram Ekonomi Malaysia

Oleh: Christine Lim

Kuala Lumpur – Ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi prestasi ekonomi dunia yang lesu, mungkin ada sinar harapan dalam prospek ekonominya tahun ini dengan pengembangan kukuh industri elektrik dan elektronik (E&E) serta pelancongan di sebalik unjuran suram bagi ekonomi negara.

 

Ini memandangkan kejatuhan harga minyak mentah dan komoditi, terutamanya minyak sawit mentah, akan menjejaskan hasil dan keupayaan kerajaan untuk mencapai sasarannya mengurangkan defisit bajet kepada tiga peratus tahun ini.

 

Harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras US$50 setong semalam, yang paling rendah sejak Mei 2009 berikutan lebihan bekalan.

 

Pakar ekonomi menyemak semula pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini dengan menurunkannya daripada sasaran rasmi kerajaan pada lima hingga enam peratus berikutan kelemahan ringgit, yang turun ke paras terendah dalam tempoh lima tahun setengah, berbanding dolar AS.

 

Bagaimanapun, eksport Malaysia bagi tempoh 11 bulan pertama 2014 kekal kukuh apabila ia meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM698.44 bilion dengan eksport E&E yang memberangsangkan ke AS.

 

Eksport menggalakkan ke AS disokong oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) pada lima peratus dalam suku ketiga 2014.

 

Dalam keadaan ekonomi Eropah yang lemah, ekonomi AS dikatakan memperoleh semula kekuatan dengan peningkatan pasaran buruh dan data perdagangan.

 

Lebih banyak import produk E&E dijangkakan dari AS dengan permintaan kukuh pengguna.

 

Maybank Investment Bank Research berkata ringgit yang lemah telah meningkatkan pendapatan eksport.

 

Ia berkata penurunan harga minyak mentah dan aliran keluar modal yang tidak menentu, terutamanya memandangkan pegangan asing tinggi dalam sekuriti kerajaan Malaysia ditambah dengan jangkaan pengecilan perbezaan kadar faedah dengan AS, telah mempengaruhi sentimen ke atas ringgit.

 

“Bagaimanapun, ringgit yang lemah seharusnya membantu meningkatkan eksport menerusi keuntungan penukaran pendapatan eksport – dengan sela masa pendek – untuk mengimbangi kos import tinggi,” kata Maybank IB Research.

 

Fokus kepada industri yang menjana hasil dan pertumbuhan boleh membantu Malaysia meningkatkan kewangannya bagi mengimbangi bajet dan mencapai konsolidasi fiskal.

 

Ini memandangkan kebimbangan kewangan awam bahawa lebihan akaun semasa yang mengecil boleh membawa kepada defisit.

 

Maybank IB Research berkata terdapat kebimbangan lebihan perdagangan Malaysia (dan lanjutan daripada itu, lebihan akaun semasa) sedang berada di ambang defisit apabila harga minyak mentah Brent turun 40 peratus pada akhir Nov 2014 daripada kemuncak pada Julai 2014.

 

“Kami mengulangi pandangan kami kemungkinan senario pengecilan lebihan perdagangan dan lebihan akaun semasa,” kata Maybank IB Research.

 

Ringgit yang lemah adalah rahmat kepada industri pelancongan di mana Malaysia harus mengambil kesempatan daripadanya.

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mencatatkan ketibaan penumpang lebih 40 juta pada Oktober tahun lepas, pertumbuhan 4.2 peratus daripada tahun sebelumnya, menjadikannya lapangan terbang utama paling pesat berkembang di Asia Pasifik. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.