Kerajaan Belum Buat Keputusan Kenaikan Tol Tahun Ini – Najib

RAWANG, 9 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tol lebuh raya tahun ini.

Beliau berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas perbincangan makmal dijalankan secara mendalam yang antara lain bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan beban pengguna.

“Tunggulah masanya…jangan hanya fikir macam seolah-olah kerajaan langsung tak sensitif terhadap masalah rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan persimpangan bertingkat Sungai Buaya di Plaza Tol Sungai Buaya dekat sini Khamis.

Najib berkata kerajaan sememangnya sentiasa peka dan prihatin terhadap setiap permasalahan rakyat dan ia terbukti dengan penangguhan kenaikan kadar tol sejak 2008 hingga 2013.

Menurut perdana menteri, bagi tempoh 2008 hingga 2011 kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM459 juta, 2012 (RM329 juta) dan 2013 (RM343 juta) kepada syarikat konsesi pengendali lebuh raya berikutan penangguhan kenaikan tol.

Najib berkata sekiranya kenaikan kadar tol pada tahun ini ditangguhkan, kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM404 juta.

Katanya selain menangguhkan kenaikan kadar tol, langkah lain yang turut diambil oleh kerajaan untuk meringankan beban rakyat termasuk mengurangkan kadar tol di beberapa plaza tol.

“Kerajaan juga turut menutup beberapa plaza tol dan menstruktur kadar tol di bawah PLUS (Projek Lebuh Raya Utara Selatan) dan MTD (MTD Prime Sdn Bhd),” katanya.

Perdana menteri turut mempertikaikan tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak mengenakan kadar tol yang sama selama 30 tahun atau sepanjang tempoh konsesi yang menurutnya tidak masuk akal.

“Kalau kita buat macam ini kadar tol pada hari pertama mungkin tinggi.

“Sebaliknya kita kenakan tol rendah pada permulaan dan naikkan ikut kemampuan rakyat dari semasa ke semasa dan kita juga cuba perseimbang dengan pihak yang bina lebuh raya,” katanya.

Najib turut menjelaskan langkah kerajaan tidak menggunakan dana kerajaan untuk membina lebuh raya di negara ini sebaliknya melantik syarikat konsesi bagi memastikan wang tersebut diguna untuk pembangunan lain seperti sekolah dan hospital.

“Kita andaikan kalau lebuh raya itu kos pembangunan katalah RM5 bilion, maka kalau terpaksa bina 30 lebuh raya maka kita terpaksa keluarkan dana kerajaan sebanyak RM150 bilion.

“Jika kita keluarkan wang sejumlah itu maka amat sukar untuk kita bina projek lain yang tak mungkin dapat pinjaman daripada institusi kewangan seperti sekolah, hospital dan balai polis,” kata Perdana Menteri.

Menjelas lanjut, beliau berkata sekiranya pembinaan lebuh raya tidak diserahkan kepada syarikat konsesi yang memiliki dana komersil sendiri, sudah pasti rakyat perlu menunggu untuk tempoh yang lama bagi menikmati kemudahan itu.

“Inilah hakikat yang kita terpaksa faham. Ada projek yang terpaksa dibiayai oleh kerajaan dan ada juga projek yang boleh dibiayai dengan dana komersil,” katanya.

Najib berkata tindakan yang dibuat kerajaan itu telah membolehkan Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya sebagai antara yang terbaik di dunia, malah ia turut mendapat pujian ramai pelancong asing.

Katanya semua pihak perlu menilai dari segi logik akal bahawa tanpa mengenakan tol adalah sukar untuk syarikat konsesi memperoleh semula dana dan seterusnya membiayai projek pembinaan yang lain.

“Kalau ada orang kata ini boleh dilakukan (tidak mengenakan tol), itu penipuan.

Kita (kerajaan) kenakan tol tapi pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan rakyat,” katanya.

Perdana menteri juga mengajak rakyat menepis persepsi bahawa kenaikan harga barangan seperti yang dilaporkan kebelakangan ini berpunca daripada kerajaan.

“Ikan naik harga mungkin disebabkan cuaca, jangan salahkan kerajaan. Kobis yang diimport dari China naik harga mungkin disebabkan bekalan kurang…pun salahkan kerajaan.

“Saya tahu banyak pihak persoalkan kerajaan seolah-olah kita bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata rakyat tidak seharusnya terlalu mengikut emosi, sebaliknya perlu memahami dan melihat ‘track record’ kerajaan yang sentiasa berusaha membela dan memperjuangkan nasib mereka.

Mengenai pembinaan persimpangan bertingkat itu, Najib berkata ia merupakan satu kemudahan kepada penduduk sekitar Rawang dan Bukit Beruntung kerana menerusinya tempoh masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 45 minit.

Katanya projek yang dibina dengan kos RM85 juta itu juga bukti kaedah kerjasama awam swasta sangat berkesan kerana membolehkan ia siap dibina dalam tempoh hanya 30 bulan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.