“Tak Guna Logo PKR, Janganlah Kata Tidak Adil”

PETALING JAYA – Calon PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan menggunakan logo Pakatan Harapan.

Namun demikian Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap agar keputusan itu tidak dianggap sebagai tidak adil apabila PKR tidak boleh menggunakan logo mereka sendiri.

“Mereka akan guna logo Pakatan Harapan. Tidak lagi (guna) logo PKR, jadi janganlah kata kita tidak adil tapi kita lebih adil,”jelas Tun M.

Terdahulu beliau berkata mesyuarat Majlis Presiden pakatan Harapan hari ini sepakat untuk meletakkan calon daripada parti yang secara tradisinya bertanding di kedua-dua kerusi itu.

Tetapi, calon sehingga kini tambah beliau masih belum ditentukan lagi.

“kita bersetuju iaitu yang akan mencalonkan ialah parti yang dahulunya mencalonkan di situ tetapi orangnya kita tidak tentukan kita serah parti berkenaan tentukan calon dan akan dipertimbangkan tetapi parti tetap parti yang lama,” katanya lagi.

17 November yang lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah dan terbatal.

Justeru, Hakim Datuk Azimah Omar yang membuat keputusan itu mengarahkan PRK diadakan serta-merta di kerusi DUN yang dimenangi Timbalan Presiden UMNO itu tanpa bertanding pada 28 April lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar hujah peguam pempetisyen iaitu calon PKR bagi DUN itu Dr. S. Streram dan peguam mewakili Mohamad dalam perbicaraan yang berlangsung selama 12 hari.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi mencabar keputusan kerusi DUN tersebut selepas beliau gagal mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding apabila dihalang masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau.

Pada 30 November yang lalu pula, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi oleh Datuk C Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.

Pada pilihan raya yang lalu, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Beliau memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.