Setpol Wan Azizah Nafi Tulis Surat Sokongan Mohon Lulus Tender Katering

SHAH ALAM – Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan menulis surat sokongan berkaitan permohonan tender katering bagi sebuah syarikat sebagaimana yang tersebar di laman sosial ketika ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Romli Ishak berkata surat yang ditulisnya itu ‘tiada nilai apa-apa’ dan ia bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Romli mengesahkan beliau menulis surat itu namun mempertahankan bahawa isi kandungannya langsung tidak menyebut beliau mencadangkan individu berkenaan supaya diberikan kontrak.

“Kalau kamu baca surat itu, ada saya cakap saya sokong? Ada saya minta luluskan? Tiada kan?” Soalnya dipetik portal berkenaan. 

“Kecuali tulis di situ (surat) sila luluskan, itu salah. Atau tulis saya sokong penuh projek ini, sila ambil tindakan segera. Itu memang kamu salah guna kuasa.

“Surat itu tidak ada apa-apa nilai pun,” katanya.

Romli juga menjelaskan pembida berkenaan tidak berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan tender tersebut.

Terdahulu, surat ditulis Romli yang ditujukan kepada Pejabat Menteri Pendidikan dan untuk perhatian setiausaha politik menterinya, Nizam Morad, menjadi tular di laman sosial, menggambarkan kerajaan PH tidak mengotakan janji untuk tidak mahu mengamalkan budaya menulis ‘surat sokongan’. 

Pada permulaan perenggan, Ramli menyatakan tujuannya menulis surat itu untuk memajukan dokumen permohonan tender membekal makanan memasak ke asrama Sekolah Menengah Agama Tun Said, Kota Belud.

“Untuk makluman pihak tuan, syarikat ini adalah hak milik bumiputera sepenuhnya serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh di samping rekod prestasi syarikat yang baik.

“Justeru itu, tanpa berniat mencampuri urusan pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama-sama ini dimajukan permohonan tersebut untuk tindakan pihak tuan selanjutnya.

“Kerjasama dan perhatian pihak tuan dalam perkara ini adalah amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” kata surat itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.