ICERD: Himpunan Disertai 55,000 Orang, Semuanya Aman – Polis KL

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menganggarkan seramai 55,000 peserta hadir ke perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di sekitar ibu negara, hari ini.

Namun berdasarkan pengamatan yang dilakukan oleh wartawan NSTP jumlahnya mungkin mencecah lebih 100,000 orang berdasarkan kepadatan peserta dalam satu masa serentak pada jam 2 petang tadi di sekitar Jalan Raja sehingga ke Bangunan Dayabumi; Jalan Tun Perak sehingga ke Jalan Lebuh Ampang; Jalan Raja Laut sehingga ke Sogo; kawasan sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun penganjur Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan Sekretariat Kedaulatan Rakyat (RAKYAT) menganggarkan jumlah peserta adalah mencecah 300,000 orang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata meskipun perhimpunan berjalan dengan aman terdapat beberapa kesalahan yang dilakukan oleh peserta gagal dikawal oleh pihak penganjur terutama membawa kanak-kanak.

“Himpunan ini berjalan dengan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Bagaimanapun polis mengesan ada ibu bapa dan penjaga yang juga peserta perhimpunan membawa kanak-kanak ke perhimpunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Sejak pagi hingga perhimpunan berakhir sekitar jam 5 petang tadi, sebahagian besar peserta dikesan masih membawa kanak-kanak dari usia 2 tahun ke perhimpunan berkenaan sekali gus melanggar syarat-syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA 2012). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.