Bapa Biar Anak Mati Kepanasan Dalam SUV

HOUSTON, Texas – Seorang lelaki dari negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS) dipenjara seumur hidup tanpa parol kerana membunuh anak lelakinya berumur 22 bulan pada 2014 dengan meninggalkan mangsa kepanasan di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selama tujuh jam semasa dia bekerja.

 

 

Justin Ross Harris (gambar) juga dihukum penjara 32 tahun kerana empat kesalahan lain. Semua hukuman itu berjalan serentak, lapor agensi berita Press Trust of India.

 

 

Harris, 36, menundukkan kepala semasa hukuman dibacakan oleh Hakim Mahkamah Atasan Daerah Cobb, Mary Staley Clark.

 

 

Pasukan peguam Harris yang berhujah bahawa mangsa mati kerana sifat pelupa tertuduh berkata, mereka akan mengemukakan permohonan untuk perbicaraan baharu.

 

 

Menurut pertuduhan, Harris mengikat anak lelakinya pada kerusi kanak-kanak di bahagian belakang SUV tersebut pada 18 Jun 2014. Dia kemudian memandu dari kediaman mereka di Marietta, Georgia menuju ke sebuah restoran untuk bersarapan sebelum ke tempat kerjanya di ibu pejabat korporat Home Depot.

 

 

Lelaki itu tidak menghantar anaknya ke pusat jagaan harian seperti biasa dan meninggalkan mangsa di dalam kenderaan itu seharian. Mangsa mati beberapa jam kemudian pada pukul 4 petang (waktu tempatan).

 

 

Pihak pendakwa raya berhujah bahawa Harris sengaja membiarkan anaknya mati kerana tidak mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa.

 

 

Lelaki itu sebaliknya lebih gemar mengadakan hubungan seks dengan pelacur dan wanita yang dikenalinya secara dalam talian. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.