Tun Mahathir Dulu Pun Tak Dedahkan Derma Politik – Ku Nan

KUALA LUMPUR – Sumbangan derma politik tidak pernah didedahkan sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Kata Tengku Adnan, beliau kesal apabila Tun Mahathir terus mempertikaikan mengapa duit derma RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Presiden Umno, dan bukannya akaun parti.

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata ia merupakan amalan yang diguna pakai sejak dahulu lagi, bukan sahaja Umno tetapi parti pembangkang juga.

 

“Satu perkara yang sangat sedih sekali berkenaan kenyataan Tun Mahathir, kononnya hendak tahu kenapa duit RM2.6 bilion itu tidak dimasukkan ke dalam akaun Umno.

 

“Daripada dia (Tun Mahathir) dulu pun, waktu itu saya setiausaha kerja, kita tidak pernah laporkan duit derma dalam penyata kira-kira.

 

“Penyata kira-kira yang perlu dilaporkan sahaja. Bukan sahaja Umno, pembangkang juga tidak laporkan daripada mana sumber mereka dapat. Jadi kenapa bangkitkan soalan-soalan begini,” katanya ketika ditemui pemberita di PWTC di sini.

 

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Tun Mahathir di Kelab Sultan Sulaiman pada Isnin yang menegaskan akan hadir Perhimpunan Agung Umno dan mahu mendengar penjelasan RM2.6 bilion oleh Najib.

 

Kata Tun Mahathir, wang derma RM2.6 bilion seharusnya dimasukkan ke dalam penyata akaun Umno sebagai bukti.

 

Mengulas lanjut perkara itu, Ku Nan menyifatkan ucapan Tun Mahathir dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mengulangi perkara-perkara yang telah dibangkitkan berulang kali.

 

“Kata sayang kepada Umno tapi apa yang agak melampau. Saya tidak faham, dia seorang negarawan. Jangan buat benda yang dulu tidak buat, sekarang minta buat.

 

“Sebenarnya Perdana Menteri yang juga Presiden Umno telah pun menyelesaikan separuh daripada masalah-masalah yang diutarakan.

 

“Saya tidak faham, kenapa mereka masih tanya, masih lagi keluarkan kenyataan sedemikian rupa,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.