Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Tahun Depan

PUTRAJAYA – Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, tarif elektrik kekal 38.53 sen/kWj bagi Semenanjung manakala Sabah dan Labuan dengan kadar 33.52 sen/kWj.

 

Ia katanya kerana kerajaan bersetuju meneruskan pemberian rebat tarif elektrik bagi Semenanjung sebanyak 1.52 sen/kWj, manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dikekalkan penurunan purata kadar elektrik 1.20 sen/kWj berkuatkuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2016.

 

Menurutnya, keputusan bagi Semenanjung dibuat susulan berlaku penjimatan kos bahan api dan penjanaan (ketidakseimbangan pelepasan kos bahan bahan api – ICPT) sebanyak RM762.03 juta bagi tempoh Julai hingga Disember 2015.

 

“Penjimatan ini diperolehi daripada penurunan harga Gas Asli Cecair (LNG) di pasaran dunia serta peningkatan kecekapan loji janakuasa gas dan arang batu.

 

“Walaupun kenaikan harga arang batu susulan kejatuhan nilai ringgit dan rasionalisasi subsidi bahan api untuk sektor elektrik berikutan kenaikan harga gas berpaip di Semenanjung sebanyak RM1.50/MMBtu berkuatkuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2016, namun kerajaan masih mampu mengekalkan purata kadar tarif elektrik semasa pada 38.53 sen/kWj,” katanya di Putrajaya, Selasa.

 

Keputusan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik bagi Sabah dan Labuan yang tidak menggunakan mekanisme ICPT, dibuat berdasarkan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia.

 

“Dalam hal ini, penjimatan dalam pemberian subsidi bahan api ‘medium fuel oil’ (MFO) dan diesel membolehkan kerajaan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj seperti tempoh enam bulan yang terdahulu,” katanya menambah bahawa keseluruhan subsidi bahan api bagi Sabah dan Labuan dianggarkan berjumlah RM468 juta bagi tahun depan. – Bnbbc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.