Taklimat Presiden: Penyokong Muhyidddin Diarah ‘Pakai Baju Biru’ Malam Ini

Kuala Lumpur – Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan membuka tirainya hari ini dengan majlis taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tu Abdul Razak.

 

Namun majlis taklimat yang akan diadakan secara tertutup pada sebelah malam itu dijangka sedikit kecoh.

 

Menurut sumber yang menghubungi SuaraTV sebentar tadi para penyokong Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diberikan ‘arahan khas’ agar memakai baju berwarna biru sebagai tanda sokongan terhadap beliau.

 

“Semua perwakilan yang menyokong Muhyiddin telah diminta untuk memakai baju berwarna biru sebagai tanda solidariti.

 

“Ia bertujuan untuk memberikan ‘signal’ kepada Najib agar segera melepaskan jawatan sebagai Presiden parti” katanya kepada SuaraTV sambil meminta agar identitinya dirahsiakan sebentar tadi.

 

Menurut sumber itu juga, pihak pengurusan UMNO telah meminta agar semua perwakilan yang hadir malam ini agar memakai baju kemeja berwana merah.

 

Malam tadi, Muhyiddin menghadiri majlis ‘Bersama Timbalan Presiden UMNO’ di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru untuk menyampaikan ucapannya selaku Timbalan Presiden parti itu, setelah tidak dibenarkan untuk membuat ucapan perasmian ketiga-tiga sayap parti dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 esok.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota veteran parti Tan Sri Aziz Yassin.

 

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis ‘Bersama Timbalan Presiden UMNO’ di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi akan diteliti oleh sebuah jawatankuasa khusus UMNO untuk mengkaji sekiranya wujud perlanggaran dari aspek perlembagaan parti.

 

Menurutnya hasil siasatan jawatankuasa itu kemudiannya akan dirujuk ke Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi UMNO untuk tindakan lanjut.

 

“Saya semalam dengar dia (Tan Sri Muhyiddin) punya ucapan, saya juga mengenal pasti wajah-wajah yang turut hadir. Saya telah beri (rakaman video) kepada Jawatankuasa Khusus untuk buat penelitian, dan kemudian kita akan bawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti dan Majlis Tertinggi untuk buat keputusan,” katanya kepada Bernama.

 

Beliau berkata Muhyiddin tidak seharusnya membawa hal ehwal dalaman parti itu ke pengetahuan umum, sebaliknya menggunakan platform yang betul untuk menyuarakan pandangannya dalam isu-isu yang dibangkitkan.

 

“Dia (Muhyiddin) telah bersetuju dalam Majlis Tertinggi. Dia kata akan akur dengan apa yang diputuskan dalam MT, jadi akurlah,” kata Tengku Adnan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.