Mara Digital Bukan Untuk Menyaingi Low Yat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Meskipun banyak pihak mengaitkan pusat teknologi maklumat (IT) yang dibuka hari ini di bangunan Mara di ibu kota sebagai saingan kepada Plaza Low Yat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pembukaannya bukan bertujuan bersaing dengan pusat barangan IT lain di negara ini.

 

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata, walaupun bangunan yang kini dinamakan Mara Digital itu kurang dikunjungi pembeli, beliau yakin selepas kemasukan peniaga IT di tingkat 3 bangunan itu, ia dapat menarik tumpuan.

 

“Kita sebenarnya bukan tujuan berlawan dengan sesiapa. Jangan ada tanggapan yang tujuan kita buka ini untuk berlawan dengan pusat IT lain seperti Low Yat dan sebagainya.

 

“Kita buat ini untuk beri peluang kepada peniaga Melayu dan Bumiputera.

 

“Memang betul, dulu agak suram. Tetapi kita harap dengan pembukaan Mara Digital ini, bangunan ini akan jadi tumpuan golongan muda dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pusat ICT Mara di Kuala Lumpur hari ini.

 

Sebelum ini, Ismail dilaporkan berkata, dengan wujudnya sebuah lagi pusat barangan digital seperti itu, ia akan dapat memenuhi keperluan orang ramai dan mengurangkan tumpuan di Plaza Low Yat di Bukit Bintang.

 

Cadangan membina Mara Digital, yang asalnya digelar “Low Yat 2”, tercetus susulan insiden pergaduhan di Plaza Low Yat Julai lalu hingga hampir mencetuskan ketegangan kaum antara Melayu dan Cina.

 

Ismail berkata, untuk menarik pengunjung datang ke Mara Digital, pihak Mara memberi pengecualian bayaran sewa kepada peniaga selama 6 bulan pertama.

 

Langkah itu diharap dapat menggalakkan peniaga memberikan potongan harga kepada pembeli, sekaligus menarik minat lebih ramai pengunjung.

 

“Dengan 6 bulan pertama penyewa tanpa bebanan ini, saya harap peniaga di sini boleh kurangkan sedikit harga.

 

“(Adakan) Promosi tawaran murah dan sebagainya, kerana mereka pun tak perlu bayar sewa,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.