154 Ketua Umno Bahagian Desak Muhyiddin Dipecat

KUALA LUMPUR – Seramai 154 ketua Umno bahagian desak Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden Umno.

 

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos berkata, hasrat itu disuarakan memandangkan Bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut banyak memburukkan presiden parti (Datuk Seri Najib) menerusi ucapannya di Kelab Sultan Sulaiman, malam semalam.

 

“Seramai 154 ketua Umno bahagian mendesak agar pemimpin yang tidak sehaluan dengan presiden parti perlu berundur supaya tidak menjejaskan sokongan ahli lain dan rakyat terhadap Umno,”katanya.

 

Beliau turut menyifatkan keseluruhan ucapan Muhyiddin semalam, lebih kepada kutukan terhadap presiden parti.

 

Terdahulu, Muhyiddin menyifatkan tindakan menyekatnya untuk berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke 69
adalah perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perhimpunan itu.

 

Selain itu, Muhyiddin turut  mendakwa bakal menjadi bahan celaan dalam perhimpunan itu yang bermula pada malam esok.

 

“Saya mungkin akan jadi bahan celaan di perhimpunan akan datang. Saya yakin, saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya lakukan atas dasar prinsip dan agama,” katanya.

 

Jelas Muhyiddin lagi, beliau secara tidak langsung mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri.

 

“Biar saya berterus terang, siapa yang menjadi barah dan nanah harus ditolak,” ujarnya.

 

Bagaimanapun, Muhyiddin sedar bahawa ucapannya itu akan menyebabkan beliau dipecat dari parti Melayu itu.

 

“Saya sedar saya mungkin disingkirkan dari parti dan mungkin saya boleh terima tawaran-tawaran lumayan daripada Perdana Menteri. Tetapi bagi saya prinsip perjuangan parti lebih penting, bukannya untuk kepentingan diri masing-masing. Ia sesuatu yang tidak boleh dijual beli,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

 

Dalam majlis itu, kira-kira 500 orang hadir bagi mendengar ucapan Muhyiddin.
Turut hadir dimajlis itu, mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

 

Sebelum ini, dalam rombakan Kabinet 28 Julai lepas, Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, merupakan antara yang digugurkan daripada senarai tersebut.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.