Undang-Undang Rasuah Dipinda Tahun Depan

Kuala Lupur – Kerajaan bercadang meminda undang-undang berkaitan rasuah dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pemberi rasuah pada tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata langkah itu dilihat wajar supaya badan dan syarikat swasta yang memberi rasuah juga diambil tindakan dan tidak hanya kepada penerima.

“Kalau sasaran kita kepada penerima, sewajarnya yang memberi juga perlu dikenakan tindakan yang lebih berat sebab rasuah ialah penyakit yang boleh rosakkan segala yang kita bina di negara kita selama ini,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Najib berkata walaupun pencapaian Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah bertambah baik berada pada kedudukan ke-50 pada tahun ini daripada 175 negara berbanding tempat ke-53 tahun lepas, namun soal rasuah dan salah guna kuasa menjadi perhatian umum.

“Apabila berlakunya kerosakan alam sekitar di Cameron Highlands di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun untuk tengok keadaan di sana dan umum beberapa tindakan yang akan diambil, tetapi punca sebenar, tidak lain tidak bukan ialah kegiatan rasuah,” katanya.

Katanya, apabila kegiatan haram biasanya melibatkan habuan lumayan maka, berlakulah seperti yang diumpamakan dalam peribahasa ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’.

Beliau berkata kegiatan seperti dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah, judi haram dan banyak lagi salah laku dan jenayah yang berlaku juga berpunca daripada rasuah.

“Banyak lagi penyakit yang ada di kalangan rakyat kita yang perlu kita beri perhatian serius dan saya minta tindakan yang lebih tegas untuk banteras perkara-perkara seperti ini, termasuk mereka yang memberi (rasuah),” katanya.

Najib juga turut menyentuh mengenai sumbangan kepada parti politik juga mesti ada peraturan tertentu.

Beliau akan meminta kerjasama parti politik termasuk daripada pembangkang supaya wujud pendirian bersama dalam soal pemberian kepada parti politik dan sebagainya.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/undang-undang-berkaitan-rasuah-dipinda-tahun-depan-kata-najib#sthash.BDNIVXiL.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.