Ujian Virus Kencing Tikus Minggu Depan

Alor Setar – Ujian pengesahan virus kencing tikus atau Leptospirosis membabitkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun kelmarin, dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, sampel darah kedua-dua adik mangsa berusia lima dan tiga tahun turut dihantar ke IMR untuk pemeriksaan lanjut dan pengesahan.

“Adik mangsa yang berusia lima tahun mengadu demam, batuk, selsema dan muntah kini dirawat di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dalam keadaan stabil. Kes ini kini bawah penjagaan Pakar Kanak Kanak dan rawatan antibiotik telah dimulakan,” katanya.

Menurutnya, adik mangsa yang berusia tiga tahun turut menerima rawatan di wad kanak-kanak HSB, dan stabil.

“Pakar Kanak-Kanak sedang memantau rapi berikutan kanak-kanak itu mengalami demam panas. Rawatan antibiotik juga diberikan. Ujian awal menunjukkan kemungkinan dia dijangkiti leptospirosis dan sampel darah telah dihantar ke IMR untuk pengesahan,” katanya.

Dr Norhizan berkata, ketiga-tiga keputusan ujian pengesahan itu dijangka diperolehi minggu depan.

“Saya harap orang ramai sentiasa mematuhi nasihat diberikan ketika mengunjungi pusat-pusat rekreasi air, bagi mengelak dijangkiti virus ini,” katanya.

Kelmarin, Amirah Maisarah Zir Omar Khan, 8, meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kencing tikus, manakala dua adiknya, Nur Syazana, 5, dan Zaharah Alisya, 3, turut mengalami demam selepas pulang dari berkelah di sebuah pusat rekreasi di Yan, hujung bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.