Sokong Hukuman Lebih Berat Kepada Pemberi Rasuah – Syed Ali

Kuala Lumpur – Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, menyokong hukuman yang lebih berat ke atas pesalah rasuah terutamanya pemberi.

Tegas beliau, pihak yang memberi dan menerima rasuah sepatutnya dikenakan hukuman berat kerana mereka ibarat ‘musuh dalam selimut’ yang boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan.

“Saya menyokong penuh cadangan tersebut dan mahu Najib lebih tegas dalam usaha kerajaan memerangi habisan-habisan gejala rasuah.

“Mereka yang melakukan kegiatan rasuah sama seperti kumpulan subversif yang boleh mengancam masa depan negara. Saya cadangkan pelaku rasuah itu ditakrifkan sebagai penjenayah dan dikenakan hukuman yang lebih berat,” katanya.

Syed Ali berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib mengenai cadangan tersebut merupakan langkah positif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah di negara ini.

Jelas beliau, sesebuah negara akan berada dalam keadaan tidak stabil dan kacau-bilau apabila sektor awam dan swasta dikuasai oleh pelaku rasuah, sama ada pemberi dan penerima.

“Datuk Seri Najib Razak telah mengambil satu pendekatan bersungguh-sungguh untuk membanteras amalan rasuah, ia satu tindakan yang perlu diberikan sokongan sepenuhnya,” ujarnya.

Cadangan tersebut tambah Syed Ali, membuktikan kerajaan memandang serius penularan gejala rasuah walaupun indek Persepsi Rasuah bertambah baik berada pada kedudukan ke-50 tahun ini daripada 175 negara.

Menurut beliau, cadangan pindaan undang-undang berkaitan rasuah sepertimana diumumkan Najib diharap akan menjadi kenyataan.

Tambahnya, amalan rasuah kini menjadi wabak serius dan perlu diperangi habis-habsian tanpa memilih bulu.

“Rasuah berlaku di mana-mana, sama ada di sektor perkhidmatan awam, swasta, berkaitan perniagaan dan pemimpin politik, penyakit itu jika tidak dibanteras boleh meruntuhkan negara,” tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha pembasmian gejala rasuah dipertingkatkan di semua sektor dan membabitkan semua pihak.

“Sepertimana didedahkan oleh Perdana Menteri bahawa punca tanah runtuh di Cameron Highlands baru-baru ini adalah berpunca daripada rasuah, ini perkara serius,” ujarnya.

Menurut beliau, mereka yang diberi tanggungjawab seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur.

“Kita tidak mahu bila berlaku bencana seperti tanah runtuh atau bukit di gondol, akhirnya terdedah perkara itu berlaku berpunca daripada perbuatan rasuah,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu cadangan pindaan undang-undang berkaitan rasuah di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi ini.

Najib berkata, apabila kegiatan haram biasanya melibatkan habuan lumayan maka berlakulah seperti yang diumpamakan dalam peribahasa ‘harapkan pagar, pagar makan padi,’.

“Banyak lagi penyakit yang ada di kalangan rakyat kita yang perlu kita beri perhatian serius dan saya minta tindakan yang lebih tegas untuk banteras perkara-perkara seperti ini, termasuk mereka yang memberi (rasuah),” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.