Polis Kenal Pasti Mayat Remaja Dalam Guni

Shah Alam – Polis mengenal pasti mayat yang ditemui dalam guni gula di jejantas tepi Sungai Klang, di Jalan Datuk Mohamad Sidin, Bukit Badak, di Klang kelmarin, merupakan mayat remaja tempatan berusia 17 hingga 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, ketika ditemui jam 3.20 petang, mangsa yang mempunyai ketinggian 173 sentimeter itu, memakai baju kemeja T berwarna hitam jenama ‘Le Fonce’, dengan tulisan ‘One memory that will never be erased’ MIB (Men In Black) pada bahagian belakang, bersaiz ‘S’.

Beliau berkata, mangsa memakai seluar jeans berwarna hitam jenama Lois yang bersaiz 30, manakala seluar dalamnya pula berjenama Pierre Cardin berwarna ungu, bersaiz ‘S’.

“Hasil pemeriksaan lanjut, mangsa bukan beragama Islam, berkulit cerah, tiada cacah (tatu) atau tanda kelahiran dan mempunyai kesan suntikan BCG pada bahagian lengan kirinya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, hasil bedah siasat mendapati, terdapat kesan hirisan pada badan mangsa dan tempoh kematiannya melebihi tiga hari.

“Setakat ini, mayat mangsa masih ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan kita meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh,” ujarnya.

Tambahnya, peruntukan hukuman mati mandatori terhadap tertuduh yang terlibat dalam kes itu, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.