Harga Petrol Dan Diesel Dijangka Turun Lagi

Kuching – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga minyak dunia dijangka akan terus turun sehingga Januari depan berdasarkan trend penurunan dalam tempoh minggu pertama Disember ini, lapor Bernama.

Menurut beliau, mengikut maklumat yang diperoleh, purata harga mingguan minyak dunia menurun, memungkinkan bahan api jenis RON97, RON95 dan diesel di negara ini diruncitkan pada harga yang lebih rendah.

“Mengikut trend seminggu ini, RON95 akan turun lagi, RON97 akan turun lagi, diesel mungkin akan turun lagi daripada RM2.23 sekarang,” katanya.

Jelasnya, rakyat sepatutnya memperoleh manfaat daripada kejatuhan harga minyak sekiranya komuniti perniagaan mengambil langkah susulan untuk menurunkan harga barang keperluan.

“Rakyat di luar sana menanti. (Apabila harga) minyak naik (komuniti peniaga) terus naik (harga barangan). (Apabila) minyak turun, (harga barangan) tak turun turun (lagi),” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau menjelaskan, penurunan harga RON97 menyebabkan jumlah permintaan minyak tersebut tinggi.

Sehubungan dengan itu Ahmad Maslan berkata, setakat ini tiada sebarang bukti menunjukkan wujud pihak tertentu yang cuba membeli minyak untuk disimpan dan dijual semula sekiranya harga meningkat pada masa depan.

Menurutnya berikutan pengumuman penurunan harga minyak itu pada 1 Disember lepas, permintaan untuk petrol RON97 di negara ini telah meningkat sebanyak lima kali ganda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.