ESSCom Berjaya Kekang Lima Cubaan Menculik

Lahad Datu – Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berjaya mengekang sekurang-kurangnya lima percubaan menculik di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi tempoh hampir lima bulan ini.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata ini merupakan kejayaan terbesar ESSCom sejak penstrukuran semula entiti itu pada 15 Julai lepas.

“Sejak penstrukturan semula ESSCom hingga kini, tiada satu pun kes penculikan direkodkan. Tahniah saya ucapkan kepada semua warga ESSCom,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap pada majlis perbarisan persaraan bekas Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan ESSCom Datuk Ahmad Nadzer Nordin di perkarangan Pangkalan Polis Marin, dekat sini Isnin.

Turut hadir Timbalan Komander ESSCom Brig Jen Subari Tomo, Ketua Komponen Laut ESSCom Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi, Ketua Komponen Pusat Operasi ESSCom Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail dan staf kanan ESSCom.

Abdul Rashid berkata sejak memegang jawatan Komander ESSCom , beliau turut memberi tumpuan terhadap usaha membanteras penyeludupan, pengedaran dadah dan kemasukan pendatang tanpa izin selain penculikan.

Beliau berkata bermula tahun depan, ESSCom akan bertindak lebih agresif lagi dengan penambahan beberapa aset baharu dan aset yang akan dibaik pulih.

“ESSCom kini dalam perancangan untuk membaik pulih beberapa bot bagi membantu bot-bot sedia ada. Kita juga merancang untuk membuat perolehan beberapa buah enjin bagi membolehkan bot-bot yang terbiar beroperasi semula,” katanya.

Bagi membolehkan anggota ESSCom di pos-pos keselamatan beroperasi dengan lebih efektif, ESSCom telah merancang untuk membuat perolehan beberapa kenderaan pacuan empat roda selain membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur, katanya.

“Pertahanan di pulau-pulau juga akan diperkasakan, di mana ESSCom dalam perancangan untuk menempatkan radar, kamera, alat penggera dan beberapa peralatan lain. Semua ini kita lakukan demi kebaikan anggota kita yang bekerja keras menjaga keselamatan dan ketenteraman di ESSZone,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nadzer, dalam ucapan perpisahannya, berkata beliau amat bertuah kerana terpilih untuk berkhidmat dengan ESSCom yang penuh dengan cabaran.

Beliau yang akan bersara wajib mulai Sabtu ini berkata pewujudan ESSCom merupakan langkah tepat untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di ESSZone, dan ia wajar disokong oleh semua pihak.

Menurut Ahmad Nadzer, ESSCom yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bahagian awam merupakan ‘contoh’ agensi kerajaan Persekutuan yang benar-benar mempraktikkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Beliau berharap tahap kerjasama yang tinggi itu dapat diteruskan bagi memastikan Sabah akan terus berada dalam keadaan aman, damai dan sejahtera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!