Dua Angkat Sumpah Sebagai Senator

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda Umno Melaka Zali Mat Yasin dan Setiausaha Organisasi MCA Kebangsaan Datuk Yoo Wei How mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka dilantik sebagai senator buat kali pertama.

Upacara angkat sumpah berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Zali, 41, juga merupakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka dan pernah menjadi Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka tahun lalu.

Yoo, 41, yang juga Pengarah Eksekutif Trans Inn Sdn Bhd pernah menjadi setiausaha politik dan setiausaha akhbar kepada beberapa menteri sejak tahun 2003 hingga 2009.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Lihan Jok mengangkat sumpah sebagai senator untuk penggal kedua di hadapan Abu Zahar.

Lihan, 57, yang juga Penasihat Utama Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) itu akan berkhidmat sebagai senator bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini, setelah tempoh penggal pertamanya tamat semalam.

Beliau pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Telang Usan selama dua penggal iaitu dari 2001 hingga 2011.

Pada sidang akhbar selepas upacara berkenaan, Zali berkata beliau menganggap pelantikannya sebagai senator sebagai satu penghormatan kepada golongan muda.

“Ini adalah merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang perlu saya galas, membawa aspirasi orang muda dan kepimpinan kerajaan negeri (Melaka),” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pendidik selama 17 tahun.

Yoo pula berkata beliau akan memberi fokus kepada isu pelajar tercicir daripada pendidikan.

“Pelajar-pelajar yang tercicir ini merupakan ‘target group’ (kumpulan sasar) yang begitu penting sebelum Malaysia mencapai 2020. Kalau kerajaan tidak membantu target group ini, mereka akan menjadi satu masalah kepada masyarakat,” katanya.

Lihan pula berkata beliau akan terus membawa agenda pembangunan luar bandar supaya kerajaan dapat terus memberi fokus kepada pembangunan penduduk di kawasan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.