Dollah Kecewa

Shah Alam – Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh melahirkan kekecewaannya terhadap kealpaan benteng pertahanan yang menyaksikan pasukan negara tewas 2-1 kepada Vietnam dalam separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam malam ini.

Jurulatih berusia 51 tahun itu berkata kesilapan pemain pertahanan, Mahalli Jasuli pada separuh masa kedua memberi kesan yang amat besar kepada pasukan negara yang kini berhadapan misi hidup atau mati dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

“Hari ini, saya anggap persembahan terburuk kami terutama dalam bahagian serangan dan pertahanan. Saya tidak tahu apa yang telah berlaku kepada pemain, tetapi kami masih ada 90 minit di Hanoi dan dalam bola sepak apa pun boleh berlaku,” kata Dollah kepada wartawan selepas perlawanan.

Bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia itu juga terkejut dengan pendekatan serangan pantas Vietnam di bawah bimbingan jurulatih Jepun Toshiya Miura yang jauh berbeza daripada kekalahan 3-0 pasukan negara dalam perlawanan persahabatan menentang Vietnam sebelum ini.

Dollah juga berkata tiga pemain lawan, Nguyen Huy Hung, Pham Thanh Luong and Que Ngoc Hai bermain dengan baik pada malam ini.

“Hari ini mereka (Vietnam) adalah lebih baik berbanding semasa kami tewas kepada mereka sebelum ini dan kami bernasib baik mereka tidak menyumbat lebih banyak gol,” katanya.

Sementara itu Miura berkata, beliau amat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan pada masa sama mengakui mereka mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol terutamanya pada separuh masa kedua.

“Pada saya, kemenangan tipis menentang Malaysia bukanlah satu jaminan untuk satu slot final bagi kami kerana kami perlu bekerja lebih keras menentang lawan dalam perlawanan timbal balik di tempat sendiri,” kata Miura.

Pandangan beliau dikongsi oleh Kapten Vietnam, Le Chong Vinh yang berterima kasih kepada peminat Vietnam yang sanggup datang ke Malaysia untuk menyokong mereka.

Beliau juga terkejut dengan kehadiran begitu ramai penyokong dalam perlawanan malam ini yang digambarkan beliau seperti perlawanan dalam Liga Jepun (J-League).

“Saya juga gembira dengan rakan sepasukan yang telah menyumbang kepada kemenangan yang penting ini tetapi kami perlu ingat Malaysia bukan lawan yang mudah, jadi kami perlu berhati-hati apabila berhadapan mereka dalam perlawanan timbal balik,” kata Chong Vinh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.