Apa Guna Jadi Pengerusi Kalau Jadi ‘Puppet’ – Noh Omar

Kuala Lumpur – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan Datuk Mohd Shamsuddin Lias, seorang yang mempunyai prinsip perjuangan berikutan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Noh berkata, peletakan jawatan Shamsuddin adalah disebabkan beliau tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai Pengerusi Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri.

“Dia tidak puas hati sebab diorang (kerajaan negeri) buat peraturan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi Kira-kira Awam (PAC). Dewan membuat peraturan Ketua Pembangkang automatik menjadi pengerusi PAC, sedangkan ahli PAC BN (Barisan Nasional) seorang sahaja dan yang lima lagi orang ahli bukan BN,” jelas Noh.

Tambah beliau, jika Shamsuddin menjadi pengerusi pun, dia tidak boleh berbuat apa-apa kepada PAC, “Sebab dia not in control PAC itu. Apa guna Shamsuddin jadi pengerusi kalau beliau menjadi puppet sahaja..dia tidak boleh control committee,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Ketika ditanya jika Shamuddin  berbincang mengenai peletakannya sebagai Ketua Pembangkang, Noh berkata Shamsuddin ada memaklumkannya semalam.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang menambah, pihaknya akan membincangkan mengenai lantikan jawatan Ketua Pembangkang.

“Kami akan putuskan kemudian,” katanya.

Hari ini media melaporkan, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Mohd Shamsuddin  Lias meletakkan jawatannya selepas menolak jawatan sebagai Pengerusi PAC negeri.

Shamsuddin dilaporkan berkata, jawatan Ketua Pembangkang yang mewajibkannya menjadi pengerusi PAC itu tidak lebih seperti menjadikannya sebagai boneka kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya tiada pilihan melainkan sama ada mempertahankaan prinsip yang menjadi asas integriti saya atau menerima tawaran di mana kuasa hanya pada nama.

“Tetapi tangan saya terikat rapi serta terpaksa tunduk dengan tekanan apabila menjadi pengerusi PAC kelak,” katanya pada sidang media di Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.