Tentera Bina Jambatan Taktikal Atasi Jalan Terputus

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengatur gerak anggota dan aset bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tugasan itu telah diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk agensi-agensi kerajaan lain.

Sehingga kini, menurut beliau, keseluruhan penglibatan pasukan dan aset ATM di kawasan yang dilanda banjir adalah sebanyak 143 pegawai dan 1,986 anggota lain-lain pangkat.

“Selain itu, Tim Perubatan 3 Batalion Ubat turut digerakkan. Tentera Darat juga sedang bersiap sedia mengatur gerak elemen dari Kor Jurutera Diraja bagi membina sebuah jambatan taktikal di Sungai Limbungan, Kemaman, Terengganu untuk menyambung ke bahagian yang runtuh akibat banjir.

“Ini penting bagi menghubungkan kawasan-kawasan yang terjejas supaya operasi penghantaran bekalan makanan, perubatan dan keperluan lain kepada mangsa dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut terlibat dengan penugasan itu melibatkan dua pegawai dan 38 anggota daripada Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla) manakala antara aset TLDM yang digunakan adalah empat buah bot dan dua buah helikopter Fennec.

Dalam pada itu, katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memainkan peranan aktif dalam menghantar bekalan makanan ke kawasan yang terputus hubungan.

“Ini melibatkan penugasan sebanyak 39 pegawai dan 154 anggota daripada Pangkalan Udara Kuantan menerusi aset sebuah helikopter Nuri serta tiga buah helikopter EC 725.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri diberi mandat memantau secara dekat perkembangan dan pengurusan bantuan-bantuan yang disalurkan ATM,” katanya.

– Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.