Selepas 26 Hari, Akhirnya Peguam Rosmah Terima Dokumen Pendakwaan Kes

KUALA LUMPUR – Selepas 26 hari menunggu dokumen pendakwaan kes, akhirnya barisan peguam yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansur menerima dokumen tersebut daripada pihak pendakwaan bagi membolehkan pihaknya meneliti butiran lengkap kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, pihaknya telah menyerahkan dokumen setebal 600 muka surat bagi perbicaraan kes pengubahan wang haram dan penyata tuntutan LHDN yang dihadapi Rosmah.

“Dokumen yang diberikan ini adalah bagi membuktikan kes kami terhadap tertuduh. Arahan yang diterima adalah untuk meneruskan kes ini secepat mungkin,” katanya, dipetik dari laporan Harian Metro.

Dalam perkembangan berkaitan, salah seorang peguam Rosmah, Datuk K Kumaraendran berkata, pihaknya baru menerima 600 muka surat dokumen pada 30 Oktober lalu, 26 hari selepas kes tersebut dibacakan di mahkamah pada 4 Oktober.

K Kumaraendran bagaimanapun menjelaskan, masih terdapat satu lagi dokumen berkaitan penyata bank yang belum diserahkan oleh pihak pendakwaan.

Peguam berkenaan memohon masa selama sebulan untuk meneliti dokumen tersebut sebelum sebutan semula kes itu dijalankan.

Hakim Azura Alwi menetapkan 6 Disember ini bagi sebutan semula kes dan turut mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan memindahkan kes ke mahkamah tinggi sebelum tarikh itu.

Pada 4 Oktober lalu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempertikaikan kegagalan pihak pendakwaan mematuhi Seksyen 51A dengan menyerahkan dokumen sebenar pendakwaan bagi kes Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah.

“Dalam pertuduhan itu, saya dapati terdapat kecacatan serius dan kita mempunyai pembelaan yang kuat kerana ada fakta yang mencurigakan serta pendakwaan tidak mempunyai siasatan lengkap.

“Sejak 8 Ogos lalu, kami hanya diberikan CD dan pihak pendakwaan kata semua dokumen dalam CD tersebut, di mana cara ini tidak betul dalam serahan dokumen.

“Kami sepatutnya diberikan dokumen sebenar, salinan fotokopi pun tiada masalah, kita mesti diberikan dokumen sebenar yang terikat dengan indeks,” katanya.

Menurut Muhammad Shafee lagi, CD yang mengandungi dokumen pendakwaan kes berkenaan sukar dibaca kerana kebanyakan dokumen berkenaan rosak.

“Bila kami datang balik (pengurusan kes) dan kita buka CD tersebut, kebanyakan dokumen itu rosak, kami tak boleh buka (baca), kami hanya boleh lihat garisan sahaja dan sedikit saja boleh dibaca.

“Paling teruk mereka tidak meletakkan jujukan tertentu yang logik supaya kita boleh ikut apa pendakwaan yang disebutkan ketika prosiding mahkamah,” katanya lagi. – SuaraTV

One thought on “Selepas 26 Hari, Akhirnya Peguam Rosmah Terima Dokumen Pendakwaan Kes

  • November 8, 2018 at 3:53 pm
    Permalink

    Salah tetap terhukum seberat2nyatk kira sapa?? Cepat2 lah jatuh hukum ??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.