PM Singapura Sasaran Utama Siasatan 1MDB Palsu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia menafikan dakwaan bahawa Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong menjadi sasaran utama siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, artikel yang kononnya dikeluarkan oleh portal The Coverage, adalah palsu.

“Pihak kami ingin mengesahkan artikel ini adalah palsu dan jelas ia adalah cubaan memfitnah,” katanya.

Terdahulu, portal berkenaan memaparkan berita bertajuk “Berita Tergempar: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menjadi sasaran utama siasatan 1MDB – Najib menandatangani beberapa perjanjian berat sebelah dengan Hsien Loong sebagai pertukaran bagi pengubahan wang haram”.

Menurut laporan terbabit, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai menandatangani beberapa perjanjian berat sebelah dengan Hsien Loong antaranya pelaksanaan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sedangkan Malaysia dibebani hutang mencecah trilion, selain perjanjian penjualan air ke negara itu.

Laporan berkenaan turut mendakwa perjanjian yang dimeterai itu adalah bertujuan bagi mendapatkan bantuan daripada bank negara Singapura untuk ‘mencuci’ wang 1MDB. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.