Neelofa, Rotikaya Selesai Saman Fitnah

SHAH ALAM – Saman fitnah yang dikemukakan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor terhadap syarikat pengendali portal Rotikaya selesai  selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes berkenaan secara baik melalui proses mediasi.

Peguam Amira Farhana Mohd Yasir, yang mewakili Neelofa ketika ditemui pemberita berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman merekodkan penghakiman persetujuan itu di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam yang mewakili Rotikaya, Mohamad Ariff Syukri Abd Rahman.

“Hari ini, penyelesaian kes saman berkenaan telah disahkan oleh mahkamah selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu melalui proses mediasi dan hari ini juga penghakiman persetujuan direkodkan. 

“Namun, terma-terma penyelesaian tidak dapat didedahkan kepada pihak media,” katanya dipetik Bernama.

Pada 24 Oktober, Neelofa dan Rotikaya bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik melalui proses mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Neelofa, 29, pada April lalu mengemukakan saman terhadap Rotikaya Media Sdn Bhd atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk dan Anugerah Ikon Wanita yang diterima pelakon berkenaan, yang mana artikel itu disiarkan di laman web www.rotikaya.com.

Dalam penyataan tuntutan, Neelofa yang juga pemilik empayar Naelofar Hijab mendakwa penyiaran artikel bertarikh 5 Mac lepas, berhubung pelancaran koleksi tudungnya di Zouk dan juga membabitkan Anugerah Ikon Wanita, telah menyebabkan reputasinya tercemar.

Pengacara rancangan MeleTOP itu mendakwa artikel yang disiarkan antara lain membawa maksud bahawa beliau telah digugurkan daripada menerima penghargaan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia selain menggambarkan dirinya tidak berakhlak dan seorang yang hipokrit.

Dakwanya juga, artikel berkenaan adalah tidak benar dan diterbitkan oleh defendan tanpa memberi peluang kepadanya untuk menafikan kenyataan-kenyataan di dalam artikel itu.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata pihak-pihak bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan secara baik tanpa apa-apa pengakuan terhadap liabiliti dan tanpa apa-apa perintah terhadap kos di dalam tindakan saman berkenaan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.