Beliau tiba di ibu pejabat tersebut pada pukul 9.40 pagi dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam dengan nombor pendaftaran TN50 selepas menemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendengar prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Dalam satu kenyataan ringkas menerusi akaun Twitternya, Najib mengesahkan mengenai siasatan tersebut namun menafikan berkaitan dengan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

“Hari ini saya dipanggil SPRM bagi membantu siasatan tetapi bukan berkaitan kes solar,” katanya menerusi status yang dihantar pada pukul 2.03 petang itu.

Semalam, media melaporkan bahawa Najib dipanggil semula bagi menyambung semula siasatan yang dimulakan sejak Julai lalu berhubung projek membabitkan nilai RM1.25 bilion.

Kontroversi projek tenaga solar itu tercetus ekoran pendedahan sebuah portal berita yang mendakwa bekas Perdana Menteri berkenaan menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak. – UTUSAN ONLINE