Exco Perak Akhirnya Umum Letak Jawatan Presiden PAFA

IPOH – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang terpalit dengan kontroversi trofi Piala Malaysia di celah kangkang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini.

Memetik laporan Awani, Hasnul berkata keputusan tersebut diambil untuk membolehkannya memberi tumpuan kepada tugas sebagai Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi.

Menurut beliau lagi, keputusan itu bukan disebabkan oleh tekanan daripada mana-mana pihak.

“Namun saya tidak menafikan keputusan ini juga serba sedikit disebabkan desakan daripada penyokong,” lapor Awani yang memetik kenyataan beliau pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pafa di sini, hari ini.

Hasnul berkata, surat rasmi peletakan jawatan itu akan diserahkan dalam masa terdekat.

Akhir bulan lalu, Hasnul menjadi sasaran kecaman netizen dan penyokong bola sepak apabila didakwa memperlakukan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan bola sepak negeri itu seperti hak milik peribadi apabila meletakkannya di celah kangkang.

Kira-kira 10 kelab penyokong bola sepak Perak turut menggerakkan kempen tandatangan dan penyerahan memorandum dalam usaha mendesak beliau meletakkan jawatan kerana gagal menyegerakan perarakan Piala Malaysia bersama pemain negeri itu. – SuaraTV

Berita Berkaitan;-
Netizen Kecam Exco Perak Perlakukan Piala Malaysia Macam Hak Peribadi

10 Kelab Penyokong Bola Sepak Perak Terus Desak Presiden PAFA Letak Jawatan
Hasnul Enggan Letak Jawatan Presiden PAFA Walaupun Didesak Penyokong Perak
Netizen dan Peminat Bola Sepak Lancar Kempen Gesa Presiden PAFA Letak Jawatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.