Calon Naib Ketua Cabang PKR Dakwa Berlaku Sogokan Wang Dalam Pemilihan

KOTA KINABALU – Beberapa calon jawatan tertinggi peringkat Cabang Sepanggar mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR berhubung dakwaan berlaku sogokan dan politik wang pada pemilihan parti itu, Sabtu lalu.

Difahamkan, beberapa ahli cabang berkenaan turut membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di sini, pagi semalam, mendakwa mereka ditawarkan sejumlah wang bagi mengundi calon tertentu pada pemilihan parti.

Calon Naib Ketua Cabang Sepanggar, Wainin Satimin, berkata beliau menerima maklumat ada beberapa ahli ditawarkan sejumlah wang bagi mengundi calon tertentu pada pemilihan cabang berkenaan, Sabtu lalu.

“Berdasarkan aduan yang diterima serta bukti yang ada, saya dan rakan bagi jawatan tertinggi lain mengemukakan bantahan kepada JPP supaya pihak yang melakukan salah laku serta politik wang pada pemilihan parti dikenakan tindakan.

“Apa yang berlaku amat mengejutkan dan kami meminta JPP menyiasat perkara ini,” katanya kepada NSTP.

Pada pemilihan Cabang Sepanggar Sabtu lalu, seramai 2,133 orang keluar mengundi daripada 7,569 pengundi yang layak dalam pemilihan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Menggatal di sini.

Dalam pemilihan bagi jawatan ketua cabang, Dr Roland Chia Ming Shen mempertahankan jawatannya selepas memperoleh 751 undi manakala tiga lagi pencabarnya iaitu Ramlan Naim mendapat 347 undi; Datuk Nani Sakam (148) dan Ali Bidin (38) dalam pertandingan empat penjuru itu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.