Akhirnya Rafidah Aziz Umum Mahu Sertai PPBM

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz akhirnya mengesahkan beliau akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO itu berkata, hasratnya itu sudah diluahkan kepada Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mahu sertai Bersatu (PPBM). Saya dah beritahu Perdana Menteri, namun buat masa ini saya belum sempat untuk mendapatkan dan mengisi borang keahlian.

“Pada saya, di mana hati kita berada itu lebih penting. Menandatangani borang itu hanya simbolik,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau sudah menyertai parti pimpinan Mahathir itu. 

Rafidah terdahulu menghadiri Simposium Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah Malaysia (MAICSA) di sini, hari ini.

Rafidah sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan menghentam UMNO. 

Tindakan itu menyebabkan dirinya digugurkan keahlian UMNO bersama dua bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim, Mei lalu. 

Beliau bagaimanapun enggan tindakannya yang mahu menyertai PPBM  dikaitkan dengan mana-mana pemimpin termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai parti itu baru-baru ini.

“Jangan letakkan saya dalam satu kumpulan yang sama dengan Tok Pa (Mustapa).

“Saya Rafidah Aziz. Saya putuskan apa saya nak buat. Saya tak ikut orang.

“Saya tak kisah apa mereka nak buat, nak lompat katak atau apa saja,” katanya dalam nada tegas.

Mustapa menyertai PPBM pada 26 Oktober lalu selepas mengumumkan keluar daripada UMNO pada 18 September.

Rafidah juga menafikan beliau ditawarkan sebarang jawatan untuk menyertai parti tersebut. 

Ujar Rafidah, beliau membantu PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana merasakan perlunya perubahan kerajaan, bukan untuk jawatan.

“Perdana Menteri kenal saya. Jika beliau pancing saya dengan apa saja, saya akan berundur. Jangan cuba rasuah saya dengan apa-apa pun.

“Memancing dengan jawatan itu rasuah dan berkait dengan kronisme. Saya sudah 75 tahun. Saya dah bersara. Cukup cukuplah,” katanya. -SuaraTv 

One thought on “Akhirnya Rafidah Aziz Umum Mahu Sertai PPBM

  • November 8, 2018 at 7:10 pm
    Permalink

    Benar tsra…terbaik.. wellcome..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.