Tuduhan Pinjaman RM100 Bilion Projek Saluran Paip Gas Tidak Benar – Abdul Rahman

KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memajakkan blok minyak dan gas di Sabah kepada China untuk mendapatkan pinjaman RM100 bilion bagi projek Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) seperti didakwa.

Beliau berkata tuduhan tidak berasas itu merupakan penipuan jelas dan terancang didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk mendapat manfaat daripada kemarahan rakyat Sabah terhadap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Katanya meskipun projek itu dibiayai melalui pinjaman Export and Import (EXIM) Bank of China, namun, dakwaan bahawa jumlah pinjaman mencecah RM100 bilion dan blok minyak dan gas di Sabah dipajakkan kepada China sebagai syarat mendapat kelulusan pinjaman adalah tidak benar sama sekali.

“Jumlah pinjaman sebenarnya ialah RM4.53 bilion merangkumi kos projek, dan pinjaman tersebut dijamin kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang tuduhan itu yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak petang semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, projek TSGP memerlukan penglibatan dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan hal-hal berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri sepertimana tertakluk dalam perlembagaan.

“Ini sekali gus membuktikan tuduhan bahawa kononnya tiada penglibatan serta perbincangan antara kedua-dua kerajaan mengenai projek berkenaan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Katanya projek pembinaan paip gas bermula dari Kimanis ke Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Sandakan dan Tawau itu mampu menambah nilai komoditi dan bahan mentah tempatan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada industri awalan selain mencipta pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Justeru, Abdul Rahman mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan berita tidak sahih disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya ingin menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.