Suara Lim Kit Siang ‘Hanyut’ Bersama Banjir Di Pulau Pinang

Aneh. Penasihat DAP Lim Kit Siang langsung tidak memberi sebarang komen terhadap banjir besar yang melanda Pulau Pinang ditadbir anaknya, Lim Guan Eng, tetapi masih sempat memberi perhatian memperingati pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki hari ke 1,000, kelmarin.

Hadir sebagai tanda solidariti kepada isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail lewat malam 6 November, Kit Siang bersama pemimpin Pakatan Harapan lain kemudiannya berarak dari bangunan parlimen ke Dataran Merdeka.

Kerap kali juga mengulangi skrip ‘Anwar tahanan politik’, Kit Siang dan pemimpin pembangkang lain lebih gemar berpolitik dikala rakyat di utara masih berjuang menyelamatkan diri dan mencari tempat berlindung akibat bah besar dan hujan lebat yang tidak berhenti.

Bagi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Dr Norvandri Hasan Basri, ‘kebisuan’ pemimpin utama DAP ini amat janggal sekali.

Katanya, berbanding tragedi banjir yang melanda Kelantan sebelum ini, Ahli Parlimen Gelang Patah ini antara terlantang menyalahkan kerajaan PAS Kelantan disamping menghasut rakyat Kelantan untuk tidak lagi percaya kepada kerajaan negeri.

“Sebelum ini, Lim Kit Siang DAP telah menggariskan 4 sebab mengapa rakyat Kelantan akan bangkit menumbangkan kerajaan PAS di negeri itu dalam PRU14. Beliau berkata, sebab pertama adalah kerana kegagalan kerajaan PAS Kelantan menangani masalah banjir di negeri itu termasuk yang terbesar pada tahun 2014.

“Ironinya, apabila kerajaan DAP di bawah Lim Guan Eng gagal untuk menangani banjir di Pulau Pinang, Kit Siang diam membisu zip mulut seperti orang bodoh.

“Itu hipokrit namanya dan ludah hijau terpalik balik ke muka veteran DAP itu. Memalukan,” kata Dr Norvandri dipetik kenyataan disiarkan KLXpress.

Menjawab tuduhan kononnya Barisan Nasional (BN) tidak pernah membantu Pulau Pinang menyelesaikan masalah banjir negeri, Dr Norvandri menyatakan bahawa jutaan ringgit telah dibelanjakan menerusi Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), RMK-10 dan RMK-11 bagi tujuan berkenaan.

Ujarnya, RM1,493,500,000 (RM1.49 bilion) juta dibelanjakan bagi pembaikan sistem saliran bandar di Pulau Pinang pada RMK-9, diikuti RM404 juta pada RMK-10 dan RM150 juta setakat ini bagi RMK-11 yang berakhir tahun 2020.

RM150 juta itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi lawatannya ke Pulau Pinang, semalam dan menyatakan hasrat untuk menambah lagi peruntukan bagi tujuan pencegahan banjir.

Dr Norvandri dalam pada itu menggesa agar Guan Eng selaku Ketua Menteri berhenti bersikap bongkak dan mula menjadikan tragedi melanda Pulau Pinang sebagai pengajaran dalam meluluskan sebarang pembangunan pada masa akan datang.

“Persoalannya, dengan pelbagai pendedahan yang telah diutarakan sebelum ini, apakah kita boleh percaya dengan mereka yang meluluskan projek-projek tersebut iaitu kerajaan DAP itu sendiri? Apakah selepas banjir besar ini, Lim Guan Eng dan DAP akan kembali kepada perangai bongkak, sombong dan cakap besar beliau?

“Memang benar bahawa ketika ini rakyat Pulau Pinang sedang menghadapi malapetaka dan kita semua patut membantu, tidak kira agama dan perbezaan politik. Tetapi sikap puak pembangkang yang hipokrit dan cakap besar terutamanya DAP yang menyebabkan kita perlu berhati-hati,” nasihatnya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.