Pelancong Mewah Tidak Lagi Kunjungi Pantai Chenang

LANGKAWI – Pelancong mewah dilihat tidak lagi menghabiskan percutian mereka di Pantai Chenang, salah satu destinasi pelancongan popular di Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir berkata keadaan itu berdasarkan penurunan mendadak kepada 40 peratus kadar penghunian di hotel empat dan lima bintang berhampiran pantai berkenaan, lapor Bernama.

“Pengusaha hotel mewah mengeluh kepada saya mengenai penurunan yang dialami mereka sejak Ogos lepas, dan jelas sekali, ini semua disebabkan keadaan yang berlaku di Pantai Chenang sekarang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata antara punca penurunan itu ialah pelancong mewah berkenaan kecewa dengan kehadiran kenderaan tidak terkawal yang keluar masuk dari kawasan pantai itu, yang dikatakan menjejaskan keselamatan mereka.

“Sepanjang tahun lepas LTA menerima sejumlah 683 aduan daripada pelancong, dan (dari Januari tahun ini) sehingga Oktober, terdapat 776 aduan…peningkatan kira-kira 30 peratus dan kesemuanya berkaitan kenderaan yang keluar masuk dari kawasan pantai itu,” katanya.

Zainudin berkata situasi dan kesesakan trafik yang teruk disebabkan kenderaan diletakkan secara sembarangan di kedua-dua belah jalan juga menjadi punca menyebabkan kebanyakan pelancong itu kecewa dengan keadaan tersebut.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas diterima, segelintir pemandu meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di tepi jalan kerana tiada pilihan berikutan tiada ruang meletak kenderaan yang mencukupi berhampiran Pantai Chenang.

“Terdapat kawasan meletak kenderaan yang boleh menampung sebanyak 400 kenderaan pada satu masa sedang dibina berhampiran Chenang sejak tahun lepas, namun projek berkenaan belum siap sehingga kini,” katanya.

Persatuan itu akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mengatasi masalah tersebut, dan menurutnya perkara itu sudah sampai kepada pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melawat kawasan berkenaan beberapa bulan lepas.

“Kita memerlukan komitmen kukuh daripada pihak berkuasa berkaitan bagi membantu pemain industri pelancongan di Chenang untuk terus menerima pelancong mewah. Jika tidak, masa depan mereka akan suram,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.